Setiap ibu bapa pastinya mempunyai dilema untuk menghantar anak ‘ke mana’ sewaktu keluar bekerja.
Hal ini kerana, wujudnya kes kematian bayi dan anak kecil yang dilaporkan media massa dan isu ini sememangnya menjadi perhatian umum.
Menurut Pakar Kanak-Kanak Hospital Pakar KPJ Johor Dr. Mohd Khaidir Mat Aris, perubahan anak sewaktu di hantar ke pusat jagaaan atau pengasuh antara pengukur anak ditempatkan di tangan orang yang selamat atau tidak.
Katanya ibu bapa perlu peka mengesan perubahan fizikal dan emosi anak selepas menghantar mereka ke taska atau pengasuh.
“Bayi yang masih kecil belum mampu menceritakan apa-apa yang berlaku. Tetapi ia boleh dikesan menerusi perubahan emosi ditunjukkan oleh bayi atau anak kecil.
“Antaranya mungkin anak tidak menunjukkan rasa atau reaksi gembira, tidak senyum malahan menangis ketika disambut oleh pengasuhnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada peringkat awal anak beremosi mungkin sebab tidak biasa dengan pengasuh tetapi kalau hampir setiap hari, pasti ada sebab tertentu yang menyebabkan si kecil kerap menangis.
“Kalau ia berlarutan, ibu bapa perlu bertindak segera dan cari puncanya agar tiada sebarang perkara buruk berlaku pada masa hadapan,” katanya.
Selain perubahan emosi, perubahan fizikal antaranya ketara yang boleh dikesan. Ia dapat dilihat oleh mata kasar seperti kesan lebam, benjolan mahupun luka di bahagian badan anak anda.
“Pengasuh dipilih haruslah yang menitikberatkan soal keselamatan kanak-kanak. Mereka perlu menyediakan persekitaran selamat daripada sebarang kemungkinan berlakunya kemalangan,”ujarnya.
NAMPAK TAK TERURUS
Jika anak-anak kelihatan seperti kotor dan tidak terurus, ini juga merupakan perubahan fizikal yang ketara bagi menunjukkan pengasuhnya mengabaikan perkara asas seperti aspek kebersihan.
“Bayi yang menangis sebenarnya ingin memberikan mesej tertentu kepada ibu bapa atau orang yang menjaganya.
“Mereka tidak dapat melakukan apa-apa untuk diri mereka sendiri. Kerana itu mereka bergantung kepada orang lain dengan cara menangis. Antara punca yang menyebabkan bayi menangis ialah mereka lapar, tidak selesa, perlukan kehangatan, perlu dipeluk, perlu rehat, ataupun tidak sihat.
“Selain tangisan tidak sihat, bayi anda juga mungkin menangis kerana tidak selesa. Tangisan bayi yang tidak selesa adalah seperti jeritan,” katanya.
Tambah beliau, bayi juga mempunyai stranger anxiety apabila mereka takutkan individu yang mereka tidak kenali. Pun begitu, keadaan ini normal bagi anak kecil yang berusia antara tujuh bulan ke atas.
Mempunyai separation anxiety iaitu takut untuk berpisah dengan ibu bapa. Ia juga normal seperti stranger anxiety.
“Namun, sekiranya separation anxiety berlaku berpanjangan atau secara tiba-tiba setelah anak anda selesa di tempat itu, ada kemungkinan ada perkara lain atau di luar kebiasaan yang berlaku.
“Penderaan atau pembulian juga boleh menyebabkan anak anda mengalami separation anxiety yang berterusan,” jelasnya.
Nasihat beliau, ibu bapa lebih mengenali bayi sendiri, jika merasakan ada sesuatu yang tidak kena, hubungilah doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Tips sebelum menghantar anak-anak ke tempat asuhan:
* Lawat kawasan – Pastikan tempat itu selamat, dan bersih.
* Mengenali pengasuh – Pastikan pengasuh mempunyai pengalaman.
* Dapatkan saranan daripada kenalan – Pastikan pengasuh mempunyai reputasi yang baik.
* Lihat berapa ramai anak jagaan – Pastikan anak jagaan di bawah pengasuh tidak terlalu ramai.
* Berikan tempoh percubaan kepada pengasuh – Hantar anak selama beberapa hari dan lihat reaksi anak.
* Lihat usia pengasuh – Pastikan pengasuh tidak terlalu tua dan tidak mempunyai masalah kesihatan serius.










