BUKANLAH menjadi rahsia bila bekas CEO Microsoft, Bill Gates dan Pengasas Apple, Steve Jobs tidak membenarkan anak mereka mengadap internet dan
telefon pintar lama-lama.
Sundar Pichai, (CEO syarikat induk Google) dan Evan Spiegel (CEO Snapchat) juga begitu. Cerita pakar ini mengenai tabiat online keluarga mereka bertebaran di alam maya dan menjadi perhatian.
Mereka tahu implikasi negatif penggunaan peranti untuk perkembangan bayi dan kanak-kanak.
Antara yang paling ditakuti ia boleh menyebabkan ketagihan. Begitupun cerita itu hanya bertitik noktah di situ. Segelintir ibu ada yang tidak kisah pun mengenainya. Dengan sedar dan tanpa was-was mereka merelakan anak mereka menjadi mangsa teknologi ciptaan manusia.
Bangun tidur bagi telefon. Waktu makan pun disuanya telefon.
Ada sahajalah alasan yang diberikan. Antaranya tidak mahu bayi menangis dan nak bagi si kecil ralit.
Ada juga yang memberikan alasan bertujuan mempertingkatkan penguasaan bahasa anak. Tidak tahulah sejauh mana ia berkesan. Tetapi kalau ditanya kepada saya dan menerusi pengalaman saya sebagai ibu, waktu menelaah memang tidak lama. Selebihnya dia akan tekan laman sosial lain yang lebih menyeronokkan seperti Youtube atau permainan video.
Banyak kali juga sewaktu makan di restoran malah ke gerai sekalipun pemandangan anak-kecil dengan gajet sudah jadi kebiasaan. Alasannya mahu anak diam. Saya bersimpati kepada anak-anak sebegini.
Sepatutnya waktu itulah digunakan ibu bapa untuk bercakap-cakap dengan anak sementara menunggu pesanan makan tiba.
Pernah dalam beberapa insiden saya lihat ada bayi yang duduk diam dalam kereta sorong. Berbunyi pun tidak. Sebaliknya ralit bermain dengan jarinya sendiri dan permainan yang membuai tergantung pada kereta sorongnya.
Yang hairannya si ibunya pula beriya-iya menyuakan telefon pintar itu pada anaknya. Sedangkan anak dia okey sahaja. Saya ingatkan situasi itu habis di situ sahaja. Bila telefon dalam genggaman bayi itu terjatuh, si nenek pula yang sambung, bagi cucunya main? Nenek pun sama naik!
Adakah kita yang dewasa ini ketagih memberi anak bermain telefon pintar walaupun mereka tidak meminta?
Realitinya makan sambil tengok telefon itu memang kurang manis. Ia juga bukan satu bentuk merangsang selera. Kita selalu diingatkan kalau nak makan, duduk elok menikmati makanan dan kalau nak tengok telefon cari masa lain atau selepas makan. Bukannya 24 jam mengadap telefon pintar.
Saya pasti pembaca juga pernah berdepan dengan kawan semeja kita yang sibuk dengan telefon, hingga langsung tidak bercakap pun dengan kita. Kalau sekali sekala tak mengapa tetapi kalau wajib? Baiklah kita makan sorang-sorang.
NOR AFZAN MOHAMAD YUSOF ialah Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.










