Kehalusan seni pertukangan Melayu dalam mereka bentuk binaan, memang tidak boleh dipertikaikan lagi.
Lihat sahaja rumah-rumah keluarga kita di kampung. Tidak banyak, sedikit pasti ada. Beranda rumah dengan tangga berhias kerawang atau daun pintu kayu pasti ada menangkap pandangan.
Proses pembinaan bangunan tradisional Melayu cukup unik. Ia banyak dipengaruhi cara hidup masyarakat setempat. Atas pengaruh itulah gaya rumah setiap negeri tidak sama antara satu sama lain.
Selain aspek sejarah, naskhah ini turut menyentuh mengenai adat mendirikan rumah, proses pembinaan rumah dan susur atur ruang. Kenapa bentuknya sedemikan dan kenapa ia dibina pada lokasi tertentu sahaja dalam sesebuah rumah.
Mengapa hanya selepas rumah siap dibina baharulah kemasan yang dikira sebagai sentuhan akhir menghiasi kediaman dilakukan?
Semuanya dirungkaikan dalam buku kecil ini. Pembukuan hasil kerja seni tukang kayu pada hakikatnya amat perlu dilakukan demi menjaga warisan seni iatu seni ukir dan seni bina Melayu.
Penelitian dan memahami proses pembinaan rumah Melayu serta elemen yang terdapat dalam sesebuah bangunan amatlah penting bagi mendidik masyarakat untuk lebih menyayangi dan menghargai seni bina rumah Melayu.
Naskhah ini membincangkan latar belakang pembinaan tiga buah rumah tradisional Melayu di kawasan Selama, Perak iaitu rumah Haji Samsudin, rumah Che Ngah dan rumah Haji Abdul Hamid. Rumah ini mempunyai nilai estetika unik, berbanding dengan rumah moden sekarang. Nilai estetika ini terdiri daripada proses perancangan, perletakan lokasi rumah sehingga kepada reka bentuk ruang dalam rumah.
Antara elemen yang dibincangkan termasuk tapak, adat untuk mendirikan rumah, proses pembinaan, susun atur ruang rumah, hiasan dan ukiran.
Penyesuaian terhadap aspek sosial dan spiritual yang digabung menjadikan seni bina tradisional turut dibincangkan.
Dengan kata lain, ia mampu menjadi medium kepada peminat seni bina membuat rujukan dan menghayati ketinggian seni bina Melayu selain amat sesuai untuk menjadi bahan dokumentasi seni bina tradisional Melayu.
LUKISAN TERUKUR RUMAH TRADISIONAL MELAYU
» Penulis: Zakaria Yaa’cob, Ahmad Faisol Yusof dan Tajul Edrus Nordin
» Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
» Harga: RM30
» Halaman: 161 muka surat
» Pengulas: Nor Afzan Mohamad Yusof











