Setelah dua tahun umat Islam Malaysia menunggu untuk melepaskan rindu mereka kepada Rasulullah SAW dan Baitullah, akhirnya sejak 8 Februari lalu rombongan demi rombongan mula berpusu-pusu menuju ke Mekah dan Madinah untuk melaksanakan ibadah umrah dan menziarahi Nabi SAW.
Perjalanan ke dua tanah suci ini mempunyai keunikan yang tidak sama dengan mana-mana percutian. Semestinya setiap muslim pasti merindui saat dapat berada di hadapan Kaabah dan Kubah Hijau Rasulullah SAW.
Hukum Ibadah Umrah
Umrah adalah wajib bagi setiap orang yang berkemampuan sekali seumur hidup. Dalil kewajipannya adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Kalian sempurnakanlah (ibadah) haji dan umrah kerana Allah. (al-Baqarah: 196)
Kelebihan Umrah
Apabila melaksanakan ibadah umrah lalu dia melakukan ibadah umrah sekali lagi pada masa lain, maka umrah yang dilakukannya itu akan menghapuskan seluruh dosa kecil yang dilakukan olehnya sepanjang masa di antara dua umrah tersebut.
Ini sebagaimana sabda Nabi SAW, daripada Abu Hurairah bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Satu umrah ke satu umrah adalah penghapus terhadap segala dosa [kecil yang berlaku] antara kedua-duanya. Haji yang diterima (oleh Allah) tiada baginya sebarang ganjaran melainkan hanya syurga. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Melaksanakan ibadah umrah pada Ramadan ada kelebihan khusus iaitu diganjari pahala seakan-akan melaksanakan ibadah haji bersama dengan Rasulullah SAW pada hayat Baginda.
Ini adalah bersumberkan hadis daripada (Sayyidina Abdullah) bin ‘Abbas, beliau berkata: Apabila Nabi SAW telah pulang daripada (ibadah) haji baginda, baginda telah bersabda kepada Ummu Sinan al-Ansoriyyah:
“Apakah yang telah menghalang anda daripada (menunaikan) haji (bersama-sama saya)”? Beliau telah berkata: Ayah kepada si fulan-beliau maksudkan suami beliau- memiliki dua ekor unta yang digunakan untuk mengairi tanaman. Dia telah menunaikan haji di atas salah satu daripada dua ekor unta tersebut. Seekor unta yang satu lagi (pula) mengairi tanah milik kami”. Baginda telah bersabda: Maka sesungguhnya umrah pada (bulan) Ramadan akan mengqada haji bersamaku”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mati Sebelum Umrah?
Syarat kewajipan bagi umrah ada lima. Beragama Islam, mencapai umur baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan. Maka jika seorang telah mencapai umur baligh, berakal, bukan seorang hamba dan ada kemampuan untuk melaksanakan umrah, dia telah diwajibkan oleh Allah melaksanakan umrah sekali seumur hidupnya.
Jika dia meninggal dunia sebelum sempat menunaikan umrah, maka dia berdosa menurut mazhab al-Imam al-Syafie.
Bagaimanapun jika dia memiliki semua syarat-syarat di atas tetapi mengalami masalah kesihatan sehingga menghalangnya menunaikan sendiri ibadah umrah, dia diwajibkan mengupah seseorang supaya melaksanakan ibadah umrah bagi pihak dirinya.
Rukun-Rukun Umrah
Rukun umrah ada lima.Ihram (berniat umrah), tawaf, sai, menggugurkan rambut dan tertib.
Bagi rukun yang pertama, para jemaah dari Malaysia yang terus terbang ke Mekah diwajibkan berniat umrah sebelum melepasi satu tempat yang bernama Qarn al-Manazil.
Jika mereka ke Madinah terlebih dahulu, maka mereka wajib berniat umrah sebelum melepasi satu tempat yang bernama Dzul-Hulayfah yang pada hari ini dikenali dengan nama Abyar Aliyy.
Jika jemaah di Mekah ingin melaksanakan umrah untuk kali kedua, maka mereka wajib berniat umrah di sebarang lokasi yang terletak di tanah halal. Namun yang terbaik adalah berniat di al-Ji’ronah seterusnya al-Tan’im dan seterusnya Hudaibiah.
Setelah selesai berniat, para jemaah akan bergerak menuju ke Masjidil Haram lalu mereka akan melakukan rukun yang kedua iaitu bertawaf di sekeliling Kaabah sebanyak tujuh pusingan bermula di al-Hajar al-Aswad.
Para jemaah diwajibkan suci daripada sebarang hadas kecil mahupun besar dan suci daripada sebarang najis pada tubuh dan pakaian sepanjang mereka bertawaf.
Selesai bertawaf, para jemaah akan melaksanakan rukun yang ketiga iaitu bersaie sebanyak tujuh perjalanan.
Saie bererti berjalan dari bukit Safa ke bukit Marwah bagi perjalanan yang pertama, ketiga, kelima dan ketujuh manakala perjalanan yang kedua, keempat dan keenam pula adalah dari bukit Marwah ke bukit Safa.
Sepanjang saie, sekiranya jemaah terbatal wuduk, maka tidak mengapa, namun sunat melaksanakan sai dalam keadaan berwuduk.
Setelah selesai sai, jemaah hendaklah menggugurkan tiga helai rambut di kepalanya sekurang-kurangnya (tahallul). Dengan pengguguran tiga helai rambut ini, maka selesailah ibadah umrah.
Pengabdian Kepada Allah
Jika kita meneliti doa-doa yang disunatkan semasa ibadah umrah, kita akan dapat merasai betapa besarnya nilai ketauhidan dan pengabdian diri kepada Allah. Sebagai contoh sewaktu seseorang berada di bukit Safa dan Marwah, dia disunatkan berzikir dan berdoa:
“Allah Maha Besar. Allah Maha Besar. Allah Maha Besar. Bagi Allah sahajalah segala pujian. Allah Maha Besar atas apa sahaja ketaatan yang telah dihidayahkan oleh-Nya kepada kami. Segala pujian adalah untuk Allah atas apa sahaja kebaikan yang telah dilakukan oleh-Nya terhadap kami. Tiada tuhan melainkan Allah satu-satunya. Tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya sahajalah segala kekuasaan dan bagi-Nya sahajalah segala pujian. Dia yang menghidupkan dan Dia yang mematikan. Di tangan-Nya sahajalah segala kebaikan.
Dia atas segala sesuatu adalah Maha Berkuasa. Tiada tuhan melainkan Allah satu-satunya. Tiada sekutu bagi-Nya. Dia telah menepati janji-Nya. Dia telah menolong hamba-Nya. Dia telah mengalahkan sekutu-sekutu yang memerangi Rasulullah SAW hanya secara bersendirian. Tiada tuhan melainkan Allah.
Kami tidak menyembah melainkan Dia dalam keadaan kami adalah mereka yang menyucikan agama hanya semata-mata untuk-Nya sekalipun orang-orang kafir telah membenci. Ya Allah, Sesungguhnya Dikau telah berfirman: Kalian berdoalah kepada-Ku.
Nescaya Aku akan memakbulkan untuk kalian. Sesungguhnya Dikau tidak akan memungkiri janji. Sesungguhnya daku memohon kepada-Mu sebagaimana Dikau telah memberikanku akan petunjuk kepada Islam agar Dikau tidak akan mencabutnya daripadaku sehinggalah Dikau mematikanku dalam keadaan daku adalah seorang muslim.
Zikir dan doa di atas adalah contoh pengabdian sejati seorang Muslim terhadap Allah, Tuhan seluruh alam.
——
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










