Ia diketuai Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan MDEC.

Ekspo 2020 Dubai: MDEC jana RM1.3 bilion peluang perdagangan, pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Minggu Ekonomi Digital Malaysia telah berjaya menjana potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM1.3 bilion ke Malaysia.

Kejayaan itu diperolehi menerusi 110 perniagaan berpotensi, 138 padanan perniagaan dan 16 Memorandum Persefahaman (MoU) dalam kalangan 22 syarikat teknologi Malaysia yang terlibat sebagai delegasi di Minggu Ekonomi Digital di Ekspo 2020 Dubai dari 9 hingga 15 Januari lalu.

Ia diketuai oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), iaitu agensi peneraju ekonomi digital Malaysia.

Kejayaan itu melepasi sasaran awal sebanyak RM300 juta daripada segi pelaburan dan 50 perniagaan berpotensi. Peluang pelaburan berkenaan juga dijangka mewujudkan 890 peluang pekerjaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Ekspo 2020 Dubai menjadi bukti kekuatan Malaysia dalam ekonomi digital serta keyakinan global terhadap negara sebagai destinasi pelaburan digital utama.

“Pelaburan berkelayakan akan memberi impak berganda iaitu mewujudkan banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi yang menjadi nadi kepada pemulihan ekonomi negara selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), serta memacu tawaran nilai Malaysia sebagai hab digital di ASEAN,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Annuar, perdagangan dan pelaburan berkelayakan berkenaan merupakan satu langkah besar ke arah merealisasikan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), yang menyasarkan pelaburan digital bernilai RM70 bilion menjelang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz pula berkata, MDEC berbangga kerana telah mengetuai barisan juara teknologi tempatan yang cemerlang dan berinovatif ke peringkat dunia.

Kata beliau, kerjasama yang jalinkan bukan sahaja akan membantu mereka berkembang sebagai pemain global tetapi juga akan memacu inovasi dan penyelesaian yang akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat.

“Ekonomi digital yang mampan dibina atas semangat kerjasama – Ekspo 2020 Dubai bukan sahaja membolehkan rangkaian kerjasama diperluaskan di seluruh dunia, malah membuktikan kelebihan dan kekuatan perkongsian awam-swasta-industri,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×