LEBIH 7.5 juta rakyat Malaysia menghadapi risiko menghidap diabetes dalam tempoh terdekat pada masa akan datang.
Berkurung terlalu lama atau tidak keluar rumah dua minggu berturut-turut juga boleh membawa kesan negatif terhadap kebersihan peribadi dan amalan pemakanan.
Kaji selidik Kesejahteraan Bermula Dari Rumah atau Wellness Begins at Home oleh Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. (Gardenia) bersama Cilisos Media mendedahkan walaupun sesetengah rakyat Malaysia pada mulanya gembira dapat duduk di rumah pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama namun lebih daripada 30 peratus responden kemudiannya kurang terasa tertekan apabila PKP yang berminggu-minggu telah berlarutan hingga menjadi berbulan-bulan.
Tekanan dihadapi memberi kesan kepada pengambilan makanan dan aktiviti sihat yang tidak dititikberatkan di rumah.
Purata keseluruhan menunjukkan mereka yang berkeluarga makan apa sahaja yang diingini tanpa mengira waktu dan masa (74.1 peratus), begitu juga individu makan tanpa mengira waktu (63 peratus), mengalami kenaikan berat badan semasa PKP (37 peratus), makan lebih banyak (26 peratus), makan kerana tertekan (15.9 peratus) serta mengaku tidak mandi, menukar baju atau memberus gigi selama tiga hari secara berturut-turut (11.8 peratus).
Ini menunjukkan hampir seorang daripada lima rakyat Malaysia menghidapi diabetes. Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), kadar kelaziman diabetes dalam kalangan dewasa di negara ini meningkat daripada 13.4 peratus pada 2015 kepada 18.3 peratus pada 2019.
Manakala bilangan kes pradiabetes juga melonjak daripada 8.8 peratus pada 2015 kepada 23.6 peratus pada 2019.
Ini disebabkan oleh ramai yang mengambil sikap tidak acuh dan tidak peduli tentang tahap kesihatan mereka. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019.
Panduan makanan harian
Peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan hipertensi, bergantung kepada pengambilan makanan harian dengan hanya 8.6 peratus daripada responden mengamalkan pemakanan yang seimbang semasa PKP.
Untuk mengelakkan obesiti, piramid makanan disediakan oleh KKM menggalakkan pengambilan dua sajian buah-buahan dan lebih daripada tiga sayur-sayuran sehari, tiga hingga lima sajian karbohidrat serta mengesyorkan seseorang minum enam hingga lapan gelas air sehari atau 1.5 liter hingga dua liter air sehari.
Berjalan, merenggangkan badan
Seramai 59.5 peratus responden mengakui tidak bersenam semasa PKP.
Berjalan kaki selama 20 minit sehari boleh mengurangkan risiko sakit jantung sebanyak 30 peratus dan berjalan kaki selama 30 minit sehari boleh meningkatkan kecergasan kardiovaskular, menguatkan tulang, mengurangkan lebihan lemak badan dan meningkatkan tenaga dan daya tahan otot.
Aktiviti percuma ini boleh boleh mengurangkan risiko mengalami penyakit seperti sakit jantung, diabetes jenis 2, osteoporosis dan kanser tertentu.
Sejam untuk diri sendiri
Sekiranya masalah ‘bosan terperuk dalam rumah’ dan ‘kelesuan pandemik’ terjadi pada diri, segeralah memanjakan diri.
Meluangkan masa untuk diri sendiri dalam satu jam sehari membantu mengurangkan tekanan. Ambil peluang bersantai di spa atau salon kuku, keluar makan bersama rakan-rakan atau beristirahat sambil minum kopi dan membaca buku.
Ia juga boleh digunakan untuk melakukan senaman yoga, zumba, menari atau bertafakur dan berkebun. Peluh yang keluar dapat membakar kalori, membuang racun dalam badan dan mengurangkan tekanan.










