PETALING JAYA: Kerajaan perlu membenarkan lebih banyak permit import dikeluarkan dalam usaha menangani isu kenaikan harga barangan seperti ayam dan telur.
Langkah membuka, mengeluarkan serta membenarkan lebih banyak permit import itu secara langsung dapat menangani penguasaan monopoli oleh pihak-pihak tertentu yang selama ini sering mengawal harga barangan keperluan rakyat.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah menyeluruh dengan mengeluarkan lebih banyak permit import supaya lebih ramai pengusaha dapat membawa barangan masuk ke dalam negara.
Menurutnya, langkah tersebut juga akan membolehkan persaingan secara sihat kepada para pengusaha dengan menawarkan harga murah serta terbaik kepada pengguna.
“Jika kerajaan membenarkan lebih banyak permit import, lebih ramai pengusaha dapat menceburkan diri dalam perniagaan untuk membawa masuk barangan keperluan.
“Malah, ini dapat menangani tindakan sesetengah pihak yang selama ini memonopoli barangan tertentu dan seterusnya mengawal turun naik harga.
“Lebih banyak permit import juga membolehkan persaingan yang sihat dengan pembeli mendapat harga yang rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Di samping itu, kata Zahidi, sudah tiba masanya juga agensi-agensi tertentu seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memperluaskan lagi peranan masing-masing dengan turut terlibat dalam penyediaan barangan keperluan rakyat seperti ayam, telur dan sebagainya.
Jelasnya, penglibatan agensi-agensi berkenaan dalam menyediakan barangan keperluan rakyat itu tidak akan menyebabkan pengusaha sedia ada gulung tikar.
“Dalam hal ini, perkara utama ialah kerajaan perlu melihat keperluan rakyat yang mahukan harga berpatutaan dan rendah mengikut kemampuan mereka. Kemampuan rakyat pada masa kini adalah terhad dan jangan lupa ramai juga yang hilang punca pendapatan.
“Daripada harga yang berpatutan, kerajaan perlu melihat kuantiti serta kapasiti barangan tersebut. Jika berkurangan hingga menyebabkan harga tinggi dan menyusahakan rakyat, maka jalan keluar ialah membenarkan serta mengeluarkan lebih banyak permit import selain penglibatan agensi-agensi tertentu seperti Risda dan Felda dalam menyediakan barangan keperluan rakyat.
“Yang penting, nasib rakyat terbela dan kita juga dapat tangani penguasaan monopoli oleh pihak tertentu yang selama ini mengawal turun naik harga,” katanya.
Mengulas lanjut, Zahidi menambah, perbincangan berkaitan menangani isu kenaikan harga barangan serta kekurangan barangan keperluan yang sering menyebabkan harga tinggi serta menyusahkan rakyat kini masih diteruskan dan MT UMNO turut memberikan pandangan agar nasib rakyat sentiasa terbela. – UTUSAN











