“Masuk simpang pun lambat, mesti pemandu perempuan yang pandu kereta…”
“Patutlah terhegeh-hegeh, pemandu perempuan…”
Itu antara ayat yang sering didengar jika berlaku adegan-adegan tidak diingini di jalan raya.
Malah, mungkin ada antara kita sendiri yang pernah mengucapkan ayat ini tanpa sedar ketika memandu di jalan.
Tetapi mengapa? Sudah tentu kerana sejak sekian lama terdapat persepsi terhadap pemandu wanita yang dikatakan tidak kompeten untuk memandu terutamanya di atas jalan raya.
Mendapatkan penjelasan daripada Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Rozmi Ismail, wanita sebenarnya secara biologinya dilahirkan dengan keupayaan motor halus.
Keupayaan itu membuatkan mereka lebih sesuai melakukan kerja-kerja yang memerlukan lebih ketelitian seperti menjahit dan sebagainya.
“Disebabkan itu golongan ini mempunyai keupayaan terhad mengendalikan kenderaan kerana memandu lebih kepada kemahiran motor kasar. Kemahiran motor kasar ini dimiliki oleh kaum lelaki.
“Kekangan inilah membuatkan wanita selalunya lebih berhati-hati ketika memandu kerana mereka takut sekiranya berlaku kesilapan sehingga membahayakan nyawa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, sikap kurang berkeyakinan dalam diri wanita juga menjadi punca utama mereka teragak-agak ketika mengendalikan kenderaan terutamanya jika berada di jalan-jalan besar.
Tambah Rozmi, sikap tersebut yang membezakan antara pemandu wanita dan lelaki kerana kaum lelaki kebanyakan lebih berkeyakinan ketika pemanduan.
“Perkara biasa kita tengok pemandu wanita selalu buat adalah kadang-kadang mereka ragu-ragu hendak tukar lorong atau pun lampu isyarat masih hijau tapi dah tekan brek dari jauh.
“Semua ini berkait dengan soal keyakinan dalam diri wanita. Mereka tak berani ambil risiko dan memilih jalan selamat, sebab itu bila lelaki tengok perkara ini dia kata perempuan ‘lembab’,” ujarnya lagi.
Namun tegasnya, tidak semua wanita ‘lembab’ ketika memandu.
Daripada pemerhatian yang dilakukan, ada sekelompok wanita yang memandu dengan laju dan cekap seperti golongan lelaki.
“Apa yang saya lihat, golongan ini selalunya terdiri daripada wanita yang bekerjaya atau berpangkat eksekutif kerana mereka ini mengejar masa dan perlu cepat dalam segala hal yang dilakukan.
“Jadi, tidak adil jika kata semua pemandu wanita lembab dan tidak cekap sebab ada juga antara mereka ini bertaraf pemandu Formula One (F1),” katanya berseloroh.
Bagaimanapun, katanya, keupayaan memandu antara jantina tidak sepatutnya dijadikan isu atau bahan jenaka.
Jelasnya, tidak ada salahnya wanita memandu dengan cermat di atas jalan raya selagi tidak mengundang risiko kepada pemandu-pemandu lain.
“Baguslah mereka bawa perlahan kerana kalau terlalu laju pun tidak bagus dan hanya akan mengundang perkara buruk bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain.
“Wanita juga kebanyakan patuh kepada peraturan jalan raya berbanding lelaki kerana lelaki sikapnya terlalu yakin dan bersikap sambil lewa ketika pemanduan,” ulasnya.
Lelaki lebih banyak kemalangan
Biarpun tanggapan negatif sering dilemparkan terhadap pemandu wanita, namun nampaknya statistik kemalangan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebaliknya.
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintenden Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, statistik 2021 mendapati bilangan pemandu lelaki yang terlibat dalam nahas jalan raya adalah 2.4 kali lebih tinggi berbanding wanita.
Bagaimana pun, tegasnya, mengambil kira bilangan penduduk, lelaki mempunyai purata kadar nahas jalan raya sebanyak 1,351.74 untuk setiap 100,000 penduduk berbanding 537.97 bagi wanita.
“Ia membuktikan lelaki 2.5 kali lebih berisiko berbanding wanita.
“Risiko ini juga dipengaruhi oleh pendedahan kaum lelaki di atas jalan raya kerana mereka merupakan ketua keluarga yang keluar bekerja setiap hari dan sering memandu,” katanya.
Ditanya mengenai perbezaan sikap pemanduan, Dr. Bakri menjelaskan kajian mendapati lelaki dan wanita mempunyai ciri berbeza yang mempengaruhi pemanduan mereka seperti persepsi keselamatan dan keselesaan dalam kereta sendiri.
“Semasa memandu, seorang wanita akan memikirkan beberapa perkara, tetapi memandangkan pemanduan memerlukan gandingan aksi dan reaksi, ada kalanya, sesetengah wanita akan melakukan kesilapan atau alpa apabila kurang tumpuan di jalan raya.
“Namun, risiko kemalangan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina.
“Kurang tumpuan semasa memandu boleh mengundang padah kerana hanya dengan tiga saat tidak melihat pada cermin besar di hadapan sebenarnya sama seperti telah melepasi padang bola dengan kelajuan 90 kilometer (km) sejam,” ulasnya.
Luar kawalan
Dalam pada itu, beliau turut berkongsikan antara punca utama berlaku kemalangan adalah disebabkan sikap terlebih yakin sehingga memandu di luar kawalan serta secara berbahaya.
“Pemanduan memerlukan gandingan aksi dan reaksi dan dan seringkali juga terlebih yakin sehingga memandu di luar kawalan serta secara berbahaya selalu menyebabkan kemalangan selain kesalahan memandu menggunakan telefon bimbit dan melebihi had laju.
“Selain itu, daripada 17 punca kemalangan, terburu-buru atau terbabas sendiri antara yang paling kerap berlaku,” katanya lagi.
Justeru, JSPT mengingatkan pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi peraturan dan memandu secara berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Jangan biarkan wanita memandu?
BARU-baru ini saya terlihat gambar seorang lelaki kononnya menunjukkan cara dan gaya seorang wanita memandu dengan kerusi ke depan dan badan betul-betul dekat stereng kereta. Hantarannya itu mendapat sambutan hangat daripada orang ramai terutamanya orang lelaki lah dan menjadi tular.
Iyalah, rata-ratanya menokok tambah. Ada yang kata perempuan kalau memandu, orang sebelah tak boleh nak berborak sangat. Nanti kena marah kerana hilang fokus. Tak kurang juga yang mengatakan wanita bawa kereta lembab dan mudah gelabah bila kena hon dan ada pula yang kata dalam setiap jalan raya yang sesak mesti ada wanita di depan yang memandu sambil makan angin!
Katalah apa saja pun, bagi saya, `penyakit tak reti bagi signal’, memotong ikut suka, memandu sambil bertelefon dan memandu dalam had kelajuan amat perlahan di lorong paling kanan, adalah `penyakit sejagat’. Tak kiralah lelaki atau wanita, sama naik saja.
Pernah jugalah, saya mengalami keadaan semasa memandu, kereta bersusun di belakang. Fikir juga ada kemalangan ke di depan. Rupa-rupanya, ada kereta dipandu terlalu perlahan di depan.
Bila berjaya dipintas, seorang lelaki sedang bersembang di telefon agaknya dengan tangan terjulur keluar, jari memegang puntung rokok. Rasa saya nak kerat saja tangan itu!
Sebenarnya, sudah berpuluh tahun rasanya, gurauan wanita bawa kereta lembab bagaikan sudah sebati dalam masyarakat di negara ini. Sejak saya remaja, sehingga dapat lesen memandu, sampailah sekarang, cakap-cakap seperti ini tidak hilang-hilang.
Wanita berhati-hati
Hakikatnya, wanita bukan lembab. Itu diakui sendiri oleh pakar psikologi. Wanita ini lebih berhati-hati. Katalah, apa saja, asalkan selamat sampai dan yang penting tidak terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Menurut PDRM , statistik tahun 2018-2021 mendapati bilangan pemandu lelaki yang terlibat dalam nahas jalan raya adalah 2.4 kali lebih tinggi berbanding wanita. Daripada keseluruhan 4,539 kematian, seramai 3,965 orang ialah lelaki berbanding wanita 574 orang.
Saya bukan mahu meminta lelaki menghentikan mengata perempuan lembab atau menarik semula dakwaan wanita memandu secara berbahaya.
Tetapi itulah, kalau wanita tidak cekap memandu, lambat atau terhegeh-hegeh, jangan beri isteri, anak atau teman wanita anda memandu. Bila si isteri hendak pergi kerja atau ke pasar atau ke mana-mana saja, bawalah mereka. Begitu juga kalau anak perempuan yang sudah ada lesen dan kereta mahu ke mana-mana, pandulah kereta untuk si anak.
Masa bersama dengan keluarga pun lebih banyak. Sambil menghantar isteri atau anak-anak, boleh berborak-borak. Kuranglah sikit masa bersembang dengan kawan-kawan di kedai kopi. Tetapi itulah, wanita sekarang ini kebanyakannya lebih berdikari. Tidak mahu menyusahkan orang lain termasuk suami. Nanti kelam-kabut pula, suami lewat ke pejabat kerana menghantar isteri terlebih dahulu.
Mungkin bila orang lelaki menguasai jalan raya, tiada wanita memandu, tidak adalah kesesakan di sana-sini. Aman dan tenang saja tanpa bunyi hon. Tak begitu?
———
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










