PADA hemat saya, jika diteliti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri kesembilan, ada ciri-ciri kepimpinan yang dipunyai Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein. Dari segi cara kerja, Ismail Sabri seperti juga Abdul Razak adalah pemimpin yang banyak bekerja tetapi kurang bercakap. Syarahan tidaklah berapi-api, mendatar bila bercakap tetapi kelebihan mereka adalah fokus kepada kerja.
Begitu juga corak berkerajaan, Abdul Razak selepas peristiwa hitam 13 Mei telah mendekati pemimpin parti-parti pembangkang untuk menubuhkan kerajaan campuran dan kemudiannya mengajak mereka menyertai Barisan Nasional (BN). Semua ini kerana beliau sedar tanpa kerajaan yang kuat khususnya dan kestabilan politik amnya, maka usaha untuk memajukan negara sukar dilakukan kerana banyak masa perlu diguna untuk menyelesaikan pertikaian dalam kalangan rakyat daripada kaum dan parti berbeza.
Itulah juga yang dilakukan oleh Ismail Sabri bila beliau menerajui kerajaan, iaitu mendekati pemimpin parti-parti pembangkang sehingga termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara mereka pada 13 September 2021. Hasil daripada MoU ini, kerajaan Ismail Sabri menjadi stabil sehingga membolehkan inisiatif-inisiatif besar beliau lancarkan seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025), Bajet 2022 dan Pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mendapat sokongan padu.
Secara umumnya, saya lihat Ismail Sabri ada satu kekuatan baharu dalam erti kata umumnya, lebih kepada kesederhanaan dalam membentuk polisi dan memahami masalah di peringkat bawah, di luar bandar, di Felda dan di kampung. Mungkin latar belakang keluarga Ismail Sabri yang berasal dari kampung, tidak seperti kebanyakan bekas Perdana Menteri lain yang berasal daripada golongan elit atau bangsawan. Latar belakang pendidikan juga mempengaruhi polisi-polisinya.
Saya boleh katakan, apa yang dilakukannya adalah suatu pencapaian tahap tinggi khususnya dalam soal-soal berkaitan pembangunan sosioekonomi golongan bumiputera, di mana saya rasa ada sesuatu yang baharu cuba disentuh oleh beliau. Berdasarkan penelitian saya, Ismail Sabri sebagai graduan undang-undang memahami Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu serta memahami konsep one state one nation dan falsafah yang ada dalam perlembagaan.
Saya paling tertarik dengan pengumuman beliau untuk menubuhkan Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera di setiap kementerian dan agensi kerajaan bagi menyelaras semua dasar dan agenda bumiputera kerana ini satu perkara yang besar. Saya berpendapat, apa yang dilakukan oleh Ismail Sabri dalam memperkasakan kedudukan bumiputera adalah satu revival (pemulihan) kepada apa yang dilakukan oleh Abdul Razak dan selaras digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun tempoh pemerintahan Ismail Sabri baru enam bulan berbanding tempoh lebih panjang Abdul Razak sebagai Perdana Menteri, tetapi saya nampak tunas-tunas pemberatan kepada bumiputera itu ada dan saya harap terus subur.
PAKATAN HARAPAN
Saya nampak apa yang dibawa oleh Ismail Sabri ini adalah tunas-tunas yang bagus kerana dalam konteks Malaysia, sekiranya kumpulan utama ini tidak berada dalam keadaan ekonomi, sosial dan pendidikan yang stabil dan baik, ia akan memberi kesan kepada seluruh rakyat. Jadi, usaha Ismail Sabri membentuk tunas-tunas pengukuran semula bumiputera adalah amat baik walaupun ada pihak yang tidak bersetuju tetapi ini ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak bercanggah dengan konsep pembinaan negara.
Perlu dijelaskan betul-betul, kekuatan sosioekonomi kumpulan majoriti itu adalah suatu yang perlu. Asas kestabilan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak bertahan lama kerana ia tidak didominasi oleh kumpulan majoriti. Kestabilan bumiputera bukan hanya memberi kepentingan kepada golongan itu tetapi kepada seluruh rakyat kerana apabila negara tidak stabil, bukan bumiputera juga tidak boleh menjalankan aktiviti ekonomi dengan lancar dan pelabur luar juga lari.
Saya berpendapat, apa yang dilakukan oleh Ismail Sabri setakat ini, kita tidak akan terpaksa menghadapi satu perubahan mendadak dalam kerajaan ekoran keputusan mengejut oleh mana-mana pihak yang menganggotai kerajaan dan pembangkang. Ismail Sabri akan dapat bertahan sebagai Perdana Menteri untuk satu tempoh lebih lama dan perubahan kerajaan tidak mungkin akan berlaku dalam tempoh terdekat kerana bila berlaku akan memberi kesan buruk kepada politik dan ekonomi kita.
Saya fikir majoriti rakyat pun faham keadaan ini dan mereka sudah tidak berminat untuk menukar kerajaan tetapi lebih berminat untuk menstrukturkan semula ekonomi, menjamin keselamatan dan ketenteraman negara serta meningkatkan kesejahteraan sosial.
Saya berharap rakyat dan ahli-ahli politik dapat fokus kepada usaha memulihkan semula negara dan kita sama-sama mengatur langkah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) secara gentlemen bila negara sudah pulih dan penggal pemerintahan sudah tamat.
Satu perkara lagi yang amat penting ialah sokongan daripada menteri dan pegawai tadbir ke atas segala inisiatif besar yang diperkenalkan oleh Ismail Sabri kerana sekarang ini kelihatan mereka seperti tidak begitu bersungguh-sungguh menyambut dan mendukungnya. Konsep Keluarga Malaysia khususnya perlulah diperincikan, dijenamakan dan diakarumbikan oleh setiap kementerian dan jabatan sehingga rakyat di seluruh pelosok negara tidak melihatnya sebagai slogan kosong tetapi boleh sama-sama menikmati manfaat daripadanya.
Begitu juga dengan satu lagi inisiatif besar yang diumumkan oleh Ismail Sabri, iaitu memperkukuhkan pendekatan berteraskan elemen Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam aspek ekonomi yang tidak akan berjaya tanpa tindakan susulan semua pihak. – UTUSAN
DR. Mohd. Noor Mat Yazid ialah Profesor Madya di Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS).











