BENGALURU: Harga emas menghampiri paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan, apabila dolar Amerika Syarikat (AS) dan hasil Perbendaharaan susut selepas Rizab Persekutuan (Fed) menyatakan pendirian `bertolak-ansur’ berhubung dasar mengenai kadar faedah.
Harga emas semasa tidak berubah pada AS$1,868.09 (RM7,817.96) seauns, setakat sesi dagangan awal pagi, berlegar berhampiran paras tertinggi Jun AS$1,879.48 (RM7865.62) yang dicapai pada Selasa lalu. Niaga hadapan emas AS turun 0.1 peratus pada AS$1,870.30 (RM7,827.21).
“Emas telah terikat dalam julat antara AS$1,845 dan AS$1,880 (RM7721.33 – RM7867.80), dan harus kekal di sini sehingga ketegangan geopolitik berkurangan sedikit, atau Fed komited untuk menunjukkan bahawa mereka benar-benar masih mencari untuk menghapuskan kecairan dan menaikkan kadar faedah dengan lebih cepat,” kata pengarah urusan di peniaga GoldSilver Central, Brian Lan, lapor Bloomberg.
Lan bagaimanapun mengingatkan, dengan inflasi yang tinggi, “walaupun mereka menaikkan kadar faedah, sebahagian besar kadar faedah sebenar masih negatif.”
“Oleh itu, selepas reaksi awal yang mengejutkan terhadap kenaikan, pelabur akan menyedari bahawa emas masih merupakan aset yang baik untuk dipegang dalam persekitaran ini,” katanya.
Pegawai Fed bulan lalu bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk menaikkan kadar faedah, dengan inflasi mengetatkan `cengkaman’ terhadap ekonomi dan sektor pekerjaan yang kukuh.
Bagaimanapun, sebarang keputusan bergantung kepada analisis mesyuarat demi mesyuarat mengenai inflasi dan data lain yang dijalankan.
Hasil dan kadar faedah yang lebih tinggi cenderung untuk meningkatkan kos peluang untuk memegang jongkong tidak membayar faedah.
Dolar AS susut selepas mesyuarat masih berlarutan, menjadikan emas lebih menarik kepada pembeli luar negara, manakala penurunan dalam hasil Perbendaharaan AS juga menyokong harga galian itu.
“Pasaran juga benar-benar sensitif kepada berita berkenaan Ukraine dan Rusia,” kata Nicholas Frappell, pengurus besar global di ABC Bullion. – AGENSI










