Perayaan maulid simbol cinta Rasul SAW - Utusan Malaysia

Perayaan maulid simbol cinta Rasul SAW

PERARAKAN sambil berselawat adalah antara program menyambut Maulid Nabi yang diadakan di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dengan masuknya bulan Rabiulawal, inilah bulan di mana hampir seluruh umat Islam seluruh dunia merayakan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Tarikh yang dipilih oleh jumhur ulama sebagai tarikh kelahiran baginda adalah 12 Rabiulawal.

Walaupun ada khilaf tentang tarikh itu, akan tetapi majoriti sepakat bahawa ia adalah pada bulan Rabiulawal.

Atas dasar ini, hampir seluruh dunia, umat Islam bersama-sama merayakan Maulid Nabi pada bulan Rabiulawal. Negara-negara Islam atau majoriti rakyat muslim seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Mesir, Maghribi dan lain-lain juga menjadikan 12 Rabiulawal sebagai tarikh cuti rasmi mereka.

Ia sebagai penghormatan kepada junjungan besar Rasulullah SAW. Mungkin bagi mereka, perbezaan ulama tentang tarikh kelahiran Rasulullah SAW bukanlah sebab untuk meninggalkan perayaan maulid itu sendiri.

Asas perayaan maulid bukanlah perkara ibadah. Menurut Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki (w. 2004M) r.h; “Perayaan maulid” adalah sebuah adat yang sudah menjadi resam umat Islam seluruh dunia untuk mengadakannya sebagai sebuah tanda kegembiraan atas kelahiran baginda Rasul SAW. Bukankah Allah SWT berfirman: Katakanlah (wahai Muhammad); dengan (kedatangan) anugerah dan rahmat Allah, maka oleh sebab itu berbahagialah. (Yunus: 58)
Imam al-Suyuthi (w. 911H/1505M) di dalam kitabnya al-Durr al-Manthur mentafsirkan: “Anugerah Allah ialah ilmu, dan rahmat Allah ialah Nabi Muhammad SAW”.
Kalau ulama menganggap ia adalah adat, maka tidak sepatutnya ada yang menuduhnya sebagai bidaah yang keji di dalam Islam. Lebih-lebih lagi, adat apabila ia disertai dengan perkara-perkara yang baik, maka baiklah ia. Apabila adat disertai dengan perkara-perkara yang keji, maka kejilah ia di dalam agama.

Misalnya, jika perayaan ulang tahun seseorang diisi dengan pesta arak dan minum minuman keras maka jelas ia haram dan dikeji. Apabila disertai dengan bersedekah, membaca doa bersama untuk diberkati umurnya serta membaca al-Quran dan semisalnya, maka tentulah ia sebuah perkara yang mulia dan dipuji.

Maka perayaan maulid yang diamalkan di dunia Islam hari ini adalah dengan berbagai cara-cara yang terpuji. Kalau di Maghribi, Raja Maghribi akan duduk di Masjid Hassan Rabat beserta para pembesar negara dan membaca Qasidah Burdah bersama-sama yang isinya memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sheikh Muhammad Tahir bin Asyur (w. 1973 M) di Tunisia pula menyambutnya dengan membacakan kisah kelahiran Rasulullah SAW di Masjid al-Zaytounah, Tunis. Kisah yang beliau bacakan ini telah dibukukan dan dicetak.

Di Indonesia pula, masyarakat akan bersama-sama memenuhi masjid dan surau untuk duduk bersama membacakan berbagai kitab-kitab maulid terkenal seperti al-Dayba’i, al-Barzanji dan lain-lain kitab.

Adapun, di Malaysia ada budaya perarakan maulid untuk menunjukkan bahawa kita sebagai umat Islam sangat bahagia dengan kelahiran Rasulullah SAW.

Selain itu, masyarakat Malaysia juga sejak lama dahulu bersama-sama mendendangkan selawat beramai-ramai memuji baginda SAW selain bersedekah kepada fakir, miskin dan jiran tetangga. Inilah budaya-budaya positif yang kita sebagai umat Islam sentiasa dahagakan.

Bahkan ulama Islam dahulu juga tidak ketinggalan mengeluarkan fatwa tentang kebaikan perayaan maulid ini. Antaranya, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fatawa Kubranya menjelaskan bahawa perayaan maulid dengan bersedekah, makan bersama, membaca al-Quran, mendendangkan puji-pujian kepada baginda SAW semua ini adalah harus, bukan haram, bukan makruh, bukan juga khilaf aula.

Imam al-Suyuthi RH juga berfatwa: “Adat umat Islam berkumpul membaca al-Quran dan riwayat-riwayat kelahiran Rasulullah SAW serta jamuan setelahnya adalah termasuk daripada bidaah hasanah (yang baik) yang diberi pahala pelakunya kerana mengagungkan darjat Nabi SAW dan menzahirkan kebahagiaan atasnya”.

Fatwa senada juga diberikan oleh Imam Ibn Hajar al-Haythami (w. 973H/1566M) di dalam Fatawa Haditiyyah. Fatwa kontemporari pula, terdapat fatwa dari Lembaga Fatwa Kerajaan Negeri Mesir yang dikeluarkan oleh Mufti Shauqi Allam.

Dalam fatwa tersebut, beliau menyatakan bahawa ia adalah sebaik-baik amalan kerana menunjukkan kebahagian dengan kelahiran Rasulullah SAW.

Ia juga adalah salah satu dari usul keimanan. Bukankah Nabi SAW bersabda: Tidak beriman salah satu dari kalian semua sehinggalah aku (Nabi) adalah yang paling kalian cintai dari ayahnya, anaknya dan sekalian manusia. (Riwayat al-Bukhari).

Walaubagaimanapun, setiap umat Islam yang mengamalkan perayaan maulid, perlu menjaga adab-adab Islam ketika majlis ini sedang dijalankan. Pastikan tidak berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan di dalam satu majlis yang terjadi sentuhan antara lelaki dan perempuan yang tidak halal, pembaziran dan lain-lain kemungkaran.

Maka kita sebagai umat Islam di nusantara, sebaiknya bertambah semangat dalam mencintai Rasulullah SAW di dalam bulan yang mulia ini. Lebih-lebih lagi ia adalah adat yang sudah turun-menurun diamalkan oleh umara, ulama dan masyarakat awam di Alam Melayu.

Semoga cahaya Nabi Muhammad SAW sentiasa menerangi dunia ini, keluarga kita dan hati kita.

Dr. Ayman al-Akiti adalah Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)& Felow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×