AirAsia bakal menyediakan perkhidmat `teksi udara'.

AirAsia sedia ‘teksi udara’ 2025

PERKHIDMATAN teksi udara yang bakal disediakan oleh AirAsia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AirAsia Aviation Group Limited (AirAsia) bakal menyediakan perkhidmatan ‘teksi udara’ menjelang 2025 menerusi  100 pesawat eVTOL VX4 yang dipajak menerusi memorandum persefahaman tanpa ikatan dengan Avolon, syarikat pemajakan pesawat antarabangsa, semalam.

Perkhidmatan itu juga dijangka membuka peluang baharu kepada sektor pelancongan khususnya untuk destinasi yang mempunyai corak muka bumi sukar dikunjungi kenderaan darat.

Ketua pegawai eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, perkhidmatan ini akan dibuka untuk perjalanan jarak pendek.

“Sebagai contoh, perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke pusat bandar Kuala Lumpur mengambil masa sehingga 90 minit sekiranya trafik sesak namun, menggunakan perkhidmatan ini, ia hanya mengambil masa 15 minit dengan kos sekitar AS$50 bagi penerbangan untuk empat penumpang.

“Selain itu, ia juga akan diterbangkan ke pelbagai sektor pelancongan seperti Genting Highlands atau Pulau Pangkor yang sebelum ini hanya dapat dikunjungi dengan kenderaan dan laluan tertentu sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi menandatangani MoU secara maya.

Beliau berkata, Avolon dan AirAsia akan membentuk kumpulan kerja untuk mendapatkan pensijilan tempatan, menyelidik peluang pasaran yang berpotensi dan keperluan infrastruktur untuk UAM.

Jelasnya, AirAsia juga akan memanfaatkan aplikasi AirAsia Super App untuk membantu menyokong dan membina platform perkongsian perjalanan eVTOL dengan Avolon.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Avolon, Dómhnal Slattery memberitahu, syarikat itu akan bersama-sama membangunkan platform perkongsian perjalanan dan membawa pesawat VX4 pelepasan sifar ke dalam perkhidmatan, seterusnya meletakkan AirAsia sebagai pengendali pilihan untuk perjalanan udara mampan di rantau ini.

“Kita mahu pelanggan tahu yang pesawat ini mampu dinaiki oleh sesiapa sahaja dan bukan hanya untuk golongan berpendapatan tinggi,” ujarnya.

Pesawat berkapasiti empat penumpang dan satu juruterbang itu dianggarkan mempunyai kelajuan sehingga 200mph, jarak senyap lebih 100 batu dalam penerbangan, pelepasan operasi sifar dan kos rendah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×