Lawatan singkat tetapi amat bermakna

Lawatan singkat tetapi amat bermakna

KEMESRAAN dipamerkan Sultan Hassanal Bolkiah (kanan) yang memandu sendiri buggy yang membawa Ismail Sabri Yaakob dan isteri masing-masing di Istana Nurul Iman, Brunei.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH berkunjung ke Indonesia dan Singapura sebelum ini, kali ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meneruskan agenda lawatan luar negara beliau ke sebuah lagi negara jiran kita, iaitu Brunei dari 14 hingga 15 Februari lalu.

Majlis paling penting sepanjang lawatan ini pastilah pertemuan empat mata antara Perdana Menteri dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Sesungguhnya, walaupun lawatan ini singkat, begitu banyak sekali perkara positif yang berjaya mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, khususnya melalui pertemuan empat mata yang berlangsung pada pagi Selasa lalu.

Semua sedia maklum Brunei adalah negara sahabat yang begitu akrab dan dekat di hati Keluarga Malaysia kerana hubungan diplomatik kita adalah berlandaskan rumpun Melayu, Kesultanan Melayu dan bertunjangkan agama Islam serta pertalian keluarga di antara penduduk kedua buah negara.

Hal ini diperkukuhkan dengan pencapaian yang begitu membanggakan dalam peningkatan nilai dagangan dua hala Malaysia dan Brunei iaitu sebanyak 70.4% yang berjumlah RM8.03 bilion pada 2021 berbanding RM4.71 bilion pada 2020.

Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Brunei pada kali ini ternyata telah berjaya menyelesaikan beberapa perkara penting.

Semasa pertemuan empat mata itu, kedua belah pihak mendapat kata sepakat dan bersetuju berkenaan pelaksanaan Inisiatif Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) udara dan darat, Pengiktirafan MySejahtera dan BruHealth serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin Covid-19.

Kedua-dua belah pihak bersetuju secara dasar untuk melaksanakan VTL udara dan darat bagi memudahkan pergerakan rakyat kedua-dua negara, termasuk pelaksanaan empat penerbangan seminggu antara Kuala Lumpur dan Bandar Seri Begawan.

Selain itu, pembukaan sempadan darat kedua buah negara juga telah dipersetujui bagi memudahkan pergerakan rakyat. Pelaksanaan ini akan diteliti oleh kementerian/agensi berkaitan agar prosedur operasi standard (SOP) teratur.

Saling hubungan

Tidak dapat dinafikan langkah pembukaan sempadan ini akan meningkatkan saling hubungan antara rakyat Malaysia-Brunei dan juga menyatukan kembali keluarga yang terpisah sekian lama.

Selain itu, aktiviti ekonomi di sempadan kedua negara saudara ini juga akan dapat dihidupkan semula seperti sediakala.

Kedua-dua belah pihak juga bersetuju mengiktiraf MySejahtera dan BruHealth yang akan memudahkan integrasi sistem dan penggunaan oleh rakyat kedua-dua negara, di mana kerjasama ini penting bagi melancarkan pergerakan rentas sempadan rakyat kedua-dua negara.

Manakala dalam inisiatif penghasilan vaksin Covid-19, Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Malaysia juga akan bekerjasama dengan pakar-pakar dari Universiti Brunei Darussalam dalam penyelidikan Antibody Response to Covid-19 Vaccines dan ini akan disusuli oleh agensi-agensi berkaitan di Malaysia dan Brunei.

Sekiranya inisiatif ini berjaya maka kedua buah negara akan dapat menghasilkan vaksin Covid-19 sendiri dan secara tidak langsung akan memastikan keselamatan rakyat kedua-dua negara terpelihara.

Satu lagi perkara yang dibincangkan dalam pertemuan empat mata adalah langkah-langkah ke arah meningkatkan lagi kerjasama ekonomi termasuk perdagangan dan pelaburan memandangkan Malaysia dan Brunei mempunyai banyak potensi dalam bidang ini.

Di samping penyertaan Petronas dan beberapa syarikat terkemuka Malaysia dalam kerjasama ekonomi Malaysia-Brunei, Perdana Menteri melihat kerjasama dalam bidang industri kecil dan sederhana (IKS), serta kerjasama Sabah-Brunei dan Sarawak-Brunei, berpotensi untuk ditingkatkan lagi.

Turut dibincangkan adalah pembinaan Projek Lebuh Raya Trans-Borneo yang merupakan sistem rangkaian jalan raya utama yang menghubungkan tiga negara, iaitu Kalimantan (Indonesia), Sarawak dan Sabah (Malaysia) dan Brunei.

Bagi fasa satu, pembinaan adalah pada tahap 77% manakala fasa dua melibatkan Brunei dalam dua segmen, iaitu membina semula laluan jajaran dari persimpangan Kuala Baram di Miri ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujoh di Kuala Belait, Brunei sepanjang lima kilometer (km) dan membina jalan baharu dan menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 74 km melalui Limbang dan Lawas.

Pelaksanaan kedua-dua projek ini pastinya akan memperkemaskan kesalinghubungan antara Malaysia dan Brunei.

Signifikan

Paling signifikan dalam pertemuan empat mata ini adalah persepakatan kedua-dua pihak supaya Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Persempadanan Darat Malaysia-Brunei diadakan dengan kadar segera setelah lama tertangguh.

Ini kerana dalam tempoh 11 tahun persetujuan dicapai perkembangannya amat perlahan, dengan hanya 87.27 km daripada 528.45 km sempadan darat (17%) yang telah disusun dan ditanda, dan daripada jumlah tersebut, hanya 34.15 km sahaja yang telah dimuktamadkan.

Oleh itu, kedua-dua negara bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi kawasan sempadan yang telah dimuktamadkan dan seterusnya Jawatankuasa Persempadanan Darat akan bermesyuarat untuk memuktamadkan kawasan sempadan yang selebihnya dengan segera.

Keakraban kedua-dua negara juga terserlah di dalam ucapan Perdana Menteri dan titah Sultan Brunei bersempena Majlis Santapan Rasmi yang menyaksikan kedua-dua pihak saling menyatakan penghargaan dan pengharapan masing-masing.

Perdana Menteri mengharapkan pendekatan saling kebergantungan kedua-dua negara akan diteruskan untuk memberi manfaat bersama selari dengan wawasan kedua-dua negara, iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Wawasan Brunei 2035.

Sultan Brunei pula menekankan mengenai kepentingan Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) bagi membincangkan isu-isu berkepentingan bersama dengan ALC kali ke-24 akan dilangsungkan di Kuala Lumpur.

Persetujuan yang dicapai mencerminkan komitmen padu antara kedua-dua pihak ke arah peningkatan hubungan ke suatu tahap yang lebih tinggi dan mantap.

DATUK Nor Nazimah Hashim ialah Ketua Setiausaha Sulit (KSUS) Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×