Ilmu Zakir Naik diperlukan di Malaysia - Utusan Malaysia

Ilmu Zakir Naik diperlukan di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Pendakwah bebas antarabangsa terkenal, Dr. Zakir Naik perlu diberikan peluang untuk terus berada di negara ini supaya umat Melayu dan Islam keseluruhannya dapat memanfaatkan ilmu dan kepakarannya dalam bidang agama.

Zakir juga pakar dalam melatih pendakwah, golongan-golongan agama dan terpelajar untuk mendalami ilmu Islam dan mahir dalam ilmu perbandingan agama.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Ahmad Yaacob berkata, sebagai permulaan, siri dakwah Zakir boleh dibuat secara dalaman sahaja membabitkan umat Islam.

Katanya, ini kerana suasana dakwah Zakir di India adalah tidak sama dengan di Malaysia, namun, tidak wajar menafikan kepakaran serta jasanya dalam mengembangkan syiar Islam.

“Saya sarankan pihak bertanggungjawab berhenti jadikan Zakir sasaran kepada kepentingan tertentu terutamanya ahli-ahli politik.

“Hanya kebelakangan ini ia menjadi isu dan saya melihat ia pada asalnya tidak jadi isu. Sebelum ini, kerajaan sendiri yang mempertahankan dia, cuma, malang ada pihak tertentu mengambil kesempatan dan ia tidak wajar,” katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan dua mufti yang mempertahankan Zakir daripada diusir dari negara ini.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, secara peribadi menghargai sumbangan dan kepakaran Zakir selain menyifatkan status PR Zakir diberi setelah mendapat pertimbangan kerajaan secara rasional dan munasabah.

Sementara Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Mohd. Noor berkata, Islam selayaknya diberi ruang yang lebih daripada agama lain untuk ditampilkan ke pengetahuan seluruh rakyat.

Kata Wan Salim, ini supaya pengajaran Islam difahami segala ajarannya yang sebenar termasuk usaha menyampaikan dakwah kepada orang bukan Islam. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×