KUALA LUMPUR – Pemain sayap Melaka United, Nazrin Nawi menyifatkan kejayaan meledak dua gol dalam aksi pembukaan Piala Malaysia malam tadi sebagai rezeki anak keduanya.
Aksi cemerlang pemain berusia 31 tahun itu yang sering mengucar-kacirkan pertahanan PDRM turut membolehkannya dinobat sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Dalam perlawanan Kumpulan D di Stadium Hang Jebat, Krubong, tuan rumah bagaimanapun terlebih dulu dikejutkan dengan gol awal The Cops menerusi Lee Chang-hoon pada minit kelapan.
Nazrin mengetuai kebangkitan Melaka dengan meledak gol penyamaan pada minit ke-11 menerusi sepakan bebas sebelum Patrick Raichelt menambah jaringan kedua pada minit ke-54.
Semangat Sang Kancil semakin membara apabila Nazrin kemudian menyudahkan hantaran Wan Amirul Afiq pada minit ke-62 untuk membantu kemenangan 3-1 Melaka.
“Saya gembira menjaringkan dua gol dan bagi saya, dua jaringan ini adalah untuk anak kedua saya.
“Apa yang penting, kami bermain sebagai satu pasukan dan meraih tiga mata dalam aksi pembukaan,” katanya yang baru menyambut kelahiran cahaya mata kedua pada Selasa lalu.
Melaka kini bakal berdepan cabaran getir juara 33 kali, Selangor dalam aksi kedua kumpulan di tempat sendiri, Khamis ini manakala pasukan Liga Perdana, PDRM bertemu Felda United pada Rabu.
Selangor yang seri 2-2 menentang Felda United, Sabtu lalu mengalahkan skuad Sang Kancil 4-3 ketika kali terakhir bertandang ke Melaka dalam saingan Liga Super, 6 April lalu.
Melaka bagaimanapun mengikat Red Giants 1-1 dalam pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Stadium Shah Alam pada 4 Mei. – UTUSAN ONLINE











