KUALA LUMPUR 5 Ogos-Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menurunkan banting ucapan Selamat menyambut Aidilfitri yang dipasang berhadapan sebuah apartment mewah di Jalan Tun Perak di sini dengan kadar segera.

Unit Media, Jabatan Perancangan Korporat DBKL berkata, pemasangan di bawah ‘festive flag’ itu akan diganti dengan banting Hari Kebangsaan ke-62 dan kerja-kerja pemasangan akan dilaksana Khamis ini.
“Banting tersebut adalah sebahagian daripada 511 batang tiang ‘festive flag’ yang dipasang sekitar bandar raya ini sebagai medium hebahan bagi kempen-kempen DBKL, kementerian, sambutan acara, perayaan dan sebagainya.
“Jadual pemasangan dan penurunan bagi ‘festive flag’ ini akan dilakukan secara berkala mengikut perancangan iaitu setiap tiga bulan sekali,” menurut DBKL dalam kenyataan akhbar di sini.
Baru-baru ini Utusan Online melaporkan mengenai pemasangan banting ucapan Hari Raya Aidilfitri yang menimbulkan tanya tanya sebahagian warga kota sedangkan sambutan Aidiladha hanya berbaki kurang seminggu sahaja.
Tambah DBKL lagi, pihaknya mengambil perhatian ke atas setiap aduan warga kota dalam meningkatkan imej bandar raya Kuala Lumpur.- UTUSAN ONLINE











