Dominic minta menteri jelaskan isu sisa buangan Lynas - Utusan Malaysia

Dominic minta menteri jelaskan isu sisa buangan Lynas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Julai – Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin diminta tampil menjelaskan berhubung tindakan kerajaan yang didakwa kononnya akan membatalkan permintaan Lynas Corporation Ltd. (Lynas) supaya membawa pulang sisa buangan nadir bumi ke Australia sebagai syarat pembaharuan lesen beroperasi di negara ini.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, berdasarkan keputusan kabinet, Kerajaan sepatutnya menghantar Bee Yin untuk melawat negara itu dan mengadakan rundingan dengan Kerajaan Australia bagi membincangkan masalah sisa buangan tersebut.

Walau bagaimanapun, jelas Dominic, tiada tarikh baharu yang ditetapkan untuk ke negara itu sekali gus mengecewakan penduduk Kuantan khususnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya percaya ramai orang berasa khuatir termasuk Gerakan untuk mengetahui sama ada kerajaan benar-benar akan membatalkan keperluan Lynas untuk menghantar sisa buangan nadir bumi ke Australia sebagai syarat lesen pembaharuan itu.

“Ini kerana, pemimpin Pakatan Harapan (PH) sering memberitahu orang ramai bahawa sisa tersebut sangat berbahaya kerana ia adalah toksik serta memancarkan radiasi berbahaya kepada tubuh manusia, sekali gus memberi kesan kepada kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar Singapore Straits Times hari ini mengenai Kabinet Malaysia telah membincangkan kemungkinan Lynas yang akan membina tangki penyimpanan sisa kekal (PDF) di negara ini dan akan mengumumkannya pada bulan depan sebelum lesen Lynas tamat tempoh.

Mengulas lanjut, Dominic berkata, situasi itu menunjukkan PH sekali lagi melakukan pusingan U terhadap janji manifestonya untuk menutup kilang operasi Lynas selepas mengambil-alih tampuk pemerintahan negara.

“Sekarang PH telah berkuasa selama lebih setahun, jadi sudah tiba masanya untuk menghormati manifesto mereka kecuali Lynas berjanji untuk menghantar pulang sisa tersebut.

“Malah, mereka pula mengenal pasti beberapa bidang untuk membangunkan industri nadir bumi serta menjadikannya sebagai sumber kekayaan negara yang baharu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini