SEREMBAN 31 Julai – Polis menahan seorang lagi wanita bagi membantu siasatan kes bunuh sepasang suami isteri warga emas di sebuah rumah di Taman Desa Melati di Nilai di sini pada 24 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, wanita berusia 28 tahun itu adalah
individu kelima ditahan selepas polis menahan empat yang lain sebelum ini.
“Tangkapan dilakukan di pekarangan Balai Polis Mantin pada 29 Julai lalu selepas wanita itu dipanggil bagi memberi keterangan kepada pihak polis.
“Dia ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 5 Ogos ini,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 24 Julai lalu, mangsa iaitu bekas jurutera sebuah syarikat swasta, Tan Kim Joo, 73, dan isterinya bekas guru Sekolah Jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Labu, Ng Chong Hwa, 67, ditemukan dengan kesan tikaman dan kelar di dalam sebuah rumah yang terbakar di Taman Desa Melati.
Kedua-dua mayat mangsa dijumpai oleh anggota bomba yang ditugaskan memadamkan kebakaran di rumah berkenaan kira-kira pukul 9.30 malam.
Berikutan itu, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 dan 45 tahun yang dipercayai dapat membantu siasatan kes penemuan dua mayat tersebut. – UTUSAN ONLINE











