NILAI – Polis menahan seorang lagi wanita bagi membantu siasatan kes bunuh sepasang suami isteri di sebuah rumah di Taman Desa Melati di sini pada 24 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, wanita berusia 28 tahun itu individu ke lima ditahan selepas polis memberkas empat yang lain sebelum ini.
“Tangkapan dilakukan di pekarangan Balai Polis Mantin pada 29 Julai lalu selepas wanita itu dipanggil bagi memberi keterangan kepada pihak polis.
“Dia ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 5 Ogos ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Kelmarin Kosmo! melaporkan polis sedang mengenal pasti motif utama kes pasangan suami isteri warga emas ditemui mati sebelum rumah mereka dibakar di sini.
Pasangan suami isteri itu ialah bekas jurutera sebuah syarikat swasta, Tan Kim Joo, 73, dan bekas guru Sekolah Jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Labu, Ng Chong Hwa, 67.
Kedua-dua mayat mangsa ditemui oleh anggota bomba yang ditugaskan memadamkan kebakaran rumah rumah berkenaan kira-kira pukul 9.30 malam.
Berikutan itu, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 dan 45 tahun yang dipercayai dapat membantu siasatan kes penemuan mayat tersebut. – K! ONLINE











