SHAH ALAM – Seorang ketua sindiket Macau Scam yang berpangkalan di Taiwan berjaya diberkas bersama tiga ahli sindiket itu dalam serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kesemua mereka berusia 24 hingga 32 tahun itu diberkas pada 16 dan 17 Julai lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd. Majid berkata, mereka dikehendaki selepas dipercayai terlibat dalam tujuh kes Macau Scam di negeri ini dengan terbaharu melibatkan seorang doktor wanita yang kerugian RM270,000 di Sungai Buloh.
Katanya, berdasarkan siasatan mendapati dalang utama yang merupakan warga Taiwan berusia 26 tahun itu hanya akan ke negara ini bagi mengambil nombor akaun baharu bagi sindiketnya.
“Berdasarkan semakan, lelaki warga Taiwan itu telah memasuki sebanyak tujuh kali ke negarai ini sejak sebulan yang lalu.
“Tiga lagi ahlinya yang merupakan warga tempatan akan mencari mana-mana individu yang sanggup menjadi keldai akaun dengan membuka akaun bank baharu. Setiap keldai akaun itu akan dibayar di antara RM200 hingga RM400,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, penggunaan akaun bank tempatan bagi menyakinkan mangsa terhadap penipuan yang akan dilakukan sindiket tersebut.
Jelas Fazlisyam, pihaknya turut merampas tujuh unit telefon bimbit, 10 kad mesin pengeluaran wang automatik dan seunit komputer riba.
“Kesemua mereka kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan sebanyak 187 kes diterima melibatkan kerugian RM15juta bermula 1 Januari hingga 30 Jun lalu.
“Sepanjang dua minggu ini, kita juga telah mengenal pasti 75 individu yang akaun mereka digunakan oleh sindiket Macau Scam selain 34 daripadanya telah dihadapkan ke mahkamah,” katanya. – K! ONLINE











