SHAH ALAM – Juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor tidak akan memandang rendah keupayaan Felda United apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan dalam aksi pembukaan kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Sabtu ini.
Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan percaya pemain skuad Gergasi Merah akan mempamerkan aksi terbaik bagi memburu tiga mata di hadapan penyokong sendiri.
“Saya yakin Felda United masih berada dalam prestasi terbaik selepas mengejutkan Kedah 5-1 di laman sendiri dalam saingan Liga Super pada 21 Julai lepas.
“Jadi pemain saya kena bermain sehabis baik dan perlu berwaspada dengan permainan yang bakal ditampilkan Felda United pada Sabtu ini, ” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Dalam pada itu, bekas Ketua jurulatih kebangsaan itu memaklumkan persiapan Selangor menghadapi Piala Malaysia berjalan lancar walaupun dua tonggak utama iaitu Mohd Syazwan Zainon dan Mohd Faiz Mohd Nasir yang masih mengalami kecederaan dan dijangka kembali pulih dalam beberapa hari lagi.
Sathianathan tidak menolak kemungkinan untuk menyenaraikan pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Noor yang sebelum ini terpaksa berehat panjang akibat kecederaan lutut yang dihadapinya.
Satu lagi aksi kumpulan D di antara Melaka dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Ahad ini (4 Ogos).- BERNAMA











