BUENOS AIRES – Lionel Scaloni akhirnya menandatangani pelanjutan kontrak bersama Argentina untuk membimbing pasukan itu sehingga tamat kempen kelayakan Piala Dunia 2022 di Qatar.
Perkara tersebut disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) pada hari ini.
Scaloni, 41 tahun sebelum ini dilantik sebagai jurulatih sementara pada Ogos lalu iaitu beberapa minggu selepas Jorge Sampaoli dipecat kerana kegagalan dalam kempen Piala Dunia 2018 di Rusia.
Perjanjian asal kontrak Scaloni sepatutnya berakhir pada Disember ini namun selepas membantu Argentina meraih tempat ketiga dalam kempen Copa Amerika di Brazil, dia telah diberikan peluang untuk membawa pasukan layak ke Piala Dunia.
Kempen kelayakan itu akan bermula pada Mac 2020 sehingga November 2021.
Ini bermakna Scaloni juga akan membimbing pasukan sama untuk aksi Copa Amerika yang menyaksikan Argentina menjadi tuan rumah bersama Colombia. – AFP











