KUALA LUMPUR 31 Julai- Juruteknik maut manakala rakannya cedera selepas ditetak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam pergaduhan berhampiran sebuah kuil di Batu Caves, Gombak dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu, mangsa berusia 33 tahun tersebut meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat ditetak pada badan manakala rakannya yang juga pemandu lori berusia 35 tahun cedera di tangan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Arshad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita mengenai pergaduhan tersebut pada pukul 10.55 malam.
Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi, kira-kira 20 lelaki bersenjatakan parang yang menaiki 10 kereta tanpa nombor pendaftaran datang ke lokasi terbabit sebelum menyerang kedua-dua mangsa.
“Hasil siasatan mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada dendam lama.
“Susulan itu, kita telah menahan empat lelaki berusia antara 19 hingga 27 tahun yang bekerja sebagai pembungkus sayur, pemandu grab serta penganggur berhampiran lokasi kejadian pagi tadi bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Arshad, kesemua individu yang ditahan kini direman selama enam hari bermula hari ini hingga Isnin depan untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.- UTUSAN ONLINE











