IPOH 31 Julai – Sebuah kereta mewah jenis BMW 320 rosak disimbah asid dipercayai akibat perbuatan khianat dalam kejadian di belakang sebuah premis cuci kenderaan di Taman Pasir Puteh Selatan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, kejadian tersebut disedari pengadu iaitu pemilik kenderaan berusia 48 tahun itu pada pukul 7.50 malam sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan itu mendapati terdapat kesan hakisan cat seperti disimbah asid di bahagian pintu belakang dan bumbung kereta berkenaan.
“Pengadu memberitahu yang dia tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan itu selain mendakwa tidak bermusuh atau mengesyaki sesiapa.
“Siasatan juga mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan saksi awam tidak melihat kejadian yang berlaku,” katanya.
Menurut Mohd. Ali, pihaknya telah menerima empat laporan polis berhubung kejadian tersebut di lokasi sama.
Ujarnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat. – UTUSAN ONLINE











