LABUAN 31 Julai – “Berdasarkan apa yang saya lihat dari luar, saya rasa saya tidak tergamak untuk masuk ke dalam. Kamu tahu, kami sudah 30 tahun tinggal di sini, dan ini pula kesudahannya,” hanya itu yang mampu diungkapkan Aldrin @ Arifin Abdullah selepas kebakaran memusnahkan rumahnya awal hari ini.
Aldrin, 54, seorang daripada lapan orang yang hilang tempat tinggal dalam kebakaran itu, dipercayai berpunca daripada litar pintas dan memusnahkan dua rumah papan bersambung, di Kg Rancha-Rancha di sini sejurus selepas tengah malam.
Tidak seorang pun daripada mereka yang dapat menyelamatkan barangan peribadi dalam kebakaran itu yang turut memusnahkan tiga buah motosikal dan sebuah kereta.
“Saya baru hendak masuk tidur apabila saya terhidu bau asap. Isteri saya membuka pintu depan dan kami amat terperanjat apabila mendapati asap tebal dan api sedang marak di hadapan rumah.
“Saya cepat-cepat menyambar anak lelaki saya, dan bersama isteri, kami menyelamatkan diri menerusi pintu belakang dengan hanya sehelai sepinggang.
“Rumah kami hampir musnah sama sekali semasa bomba tiba dan kami tidak dapat berbuat apa-apa, hanya melihat sahaja ketika api yang marak itu memusnahkan rumah kami. Tidak seorang pun daripada kami yang dapat menyelamatkan harta benda kami,” katanya kepada Bernama di lokasi.
Runny Songkui @Tanak, 37, berkata kebakaran bermula dari rumahnya dan dia juga tidak dapat menyelamatkan harta benda kerana api marak dengan pantas ekoran angin kencang.
“Isteri dan empat anak saya pulang ke kampung kami di (tanah besar) Sabah. Saya harap isteri saya tabah apabila mendengar berita ini,” katanya.
Para pegawai dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan berada di lokasi untuk mengenal pasti bantuan kepada mangsa.- BERNAMA











