IPOH – Sebuah kereta mewah jenis BMW 320 rosak selepas disimbah asid dipercayai akibat perbuatan khianat dalam kejadian di belakang sebuah premis cuci kenderaan di Taman Pasir Puteh Selatan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, pemilik kenderaan berusia 48 tahun itu menyedari keretanya disimbah asid pada pukul 7.50 malam sebelum dia bertindak melaporkan kepada pihak polis.
“Pemeriksaan terhadap kenderaan itu mendapati terdapat kesan hakisan cat seperti disimbah asid di bahagian pintu belakang dan bumbung kereta berkenaan.
“Pemilik memaklumkan dia tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan tersebut dan mendakwa dia tidak bermusuh dengan sesiapa atau mengesyaki sesiapa yang melakukannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Mohd. Ali, siasatan di lokasi kejadian juga mendapati tiada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan itu dan tiada saksi awam yang melihat kejadian itu.
“Setakat ini polis telah menerima empat laporan berhubung kejadian tersebut di lokasi yang sama.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pelaku dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat,” katanya. -K! ONLINE











