BALIK PULAU – Seorang wanita warga emas di Bayan Lepas di sini kerugian wang sebanyak RM179,890 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket Macau scam baru-baru ini.
Mangsa yang merupakan pesara kerajaan berusia 69 tahun itu mula terjerat dalam sindiket tersebut selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai polis.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A.A. Anbalagan berkata, mangsa mendakwa bahawa lelaki yang memperkenaklan diri sebagai Inspektor Firdaus itu memaklumkan dia ada terlibat dalam kegiatan judi online haram di Kuala Lumpur.
“Lelaki itu kemudiannya meminta mangsa memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan.
“Jika dia tidak berbuat demikian, akaun bank mangsa akan disekat selepas perkara itu dimaklumkan kepada Bank Negara,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa telah menafikan dakwaan itu, namun dia diugut akan ditahan polis sekiranya enggan memberikan kerjasama.
“Mangsa yang berasa takut kemudiannya akur dengan arahan lelaki itu dan melakukan pemindahan wang.
“Dia membuat beberapa transaksi ke dalam beberapa akuan seperti diberikan yang keseluruhannya berjumlah RM179,890,” katanya lagi.
Menurut Anbalagan, mangsa yang juga janda itu akhirnya menyedari dia ditipu sebelum membuat laporan polis semalam.
Beliau berkata, kes disisast mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











