KOTA BHARU – Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu terutama berkaitan kes culik sebagaimana yang tular sejak kebelakangan ini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya memandang serius berhubung kes berkenaan.
“Dalam hal ini orang ramai dan masyarakat setempat tidak perlu membuat laporan palsu semata-mata untuk mengelak kejadian sebenar atau mahu menutup kesalahan masing-masing.
“Malah bila kejadian itu berlaku (culik) ia ditular dan belum tentu kesahihannya sama ada betul atau tidak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, sesuatu kes itu perlu mendapatkan kepastian terlebih dahulu dengan pihak polis dan merupakan satu kesalahan selain meresahkan masyarakat.
Beliau berkata, pihaknya ada menerima laporan dan melalui siasatan yang dijalankan mendapati kejadian itu tidak wujud dan tidak berlaku.
“Seorang pelajar berusia 13 tahun yang mendakwa cuba diculik telah diambil keterangan oleh polis.
“Dia memberitahu bahawa hanya bergurau dengan kawan sekolahnya tanpa menyedari bahawa gurauan ini telah diviralkan dan digambarkan seolah olah kejadian yang benar-benar berlaku,” katanya.
Kes tersebut tular di laman sosial hari ini yang mengatakan kononnya pelajar itu diculik seorang lelaki bertopeng di Bandar Baru Kubang Kerian, di sini.
Remaja lelaki itu, dipercayai berkunjung ke rumah rakannya dan dalam perjalanan pulang dengan menunggang basikal ke rumahnya di Bandar Baru Kubang Kerian.
Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, secara tiba-tiba sebuah van putih bercermin gelap berhenti dan seorang lelaki bertopeng turun dari van berkenaan menarik baju mangsa dari arah belakang sehingga menyebabkan baju yang dipakai mangsa terkoyak pada bahagian tepi kiri dan kanan.
Mangsa turut mengalami kecederaan pada bahagian belakang tumit kaki dalam usaha melepaskan diri dari menjadi mangsa culik. – K! ONLINE











