Merangka era baharu DBP - Utusan Malaysia

Merangka era baharu DBP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUJUAN utama saya mencoret tulisan ini adalah untuk memberi nafas baharu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam Malaysia menuju ke arah era 5G dan Industri 4.0.

Bagi saya, DBP kini masih pada tahap 1G dan Industri 1.0. Jauh ketinggalan. Kita perlu melihat semula peranan yang boleh dimainkan oleh DBP bagi memberi suatu definisi baharu Melayu, Malaysia dan ketamadunan global. Pada hemat saya, DBP masih di bawah tempurung 1960-an. Walaupun bangunan sudah canggih dan buku sekapal banyak sudah diterbitkan tetapi buah fikiran kritis dan bermakna amat kurang serta nilai ketamadunan kepelbagaian serta globalisasi lebih teruk lagi. Mari sama-sama membantu institusi yang kita semua sayangi ini untuk ia berkembang maju dan melangkah yakin.

Pada awal dahulukala, DBP ditubuhkan bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu. Dua-dua pun dah lingkup rasanya. Dari aspek perpaduan, kita kini berada dalam keadaan regression atau regresif.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dari aspek bahasa ilmu, universiti-universiti awam pun menolak bahasa Melayu dengan konsep kenaikan pangkat menggunakan terbitan yang lebih mengutamakan kriteria luar negara daripada kepentingan kepenggunaan di tempat mastautinnya bahasa Melayu itu sendiri. Di lebih 200 institusi pendidikan tinggi swasta, penggunaan broken English dan plagiarized English berleluasa. Ramai rakan arkitek bukan Melayu, rakan saya sudah tidak pandai bertutur atau membaca dalam bahasa Melayu pun.

DBP DIBAHAGI DUA Sekarang Tun Dr. Mahathir Mohamad nak perkenalkan kembali Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan keilmuan di universiti masih memandang aspek pengantarabangsaan sebagai kayu ukur dan bukannya pembangunan dalam kampung sendiri. Kemudian kita lihat pula isu calon Sasterawan Negara. Saya selalu bertanya kenapa Sasterawan Negara semuanya Melayu? Duit yang DBP gunakan untuk serba-serbi datangnya daripada duit kaum serta etnik Cina, India, Sikh, Kadazan, Orang Asli dan sebagainya? Kenapa Melayu juga yang dapat? Kalau nama anugerah itu Sasterawan Melayu dan duitnya daripada wang orang Melayu atau Tabung Melayu, Dana Pas atau Dana UMNO, saya tidak kisah sangat. Jadi kita kena ubah cara kita lihat peranan DBP dalam aspek kesamarataan demokrasi dan juga pembangunan ketamadunan yang lebih luas daripada Melayu dan Malaysia.

Saya ingin mencadangkan DBP dipecahkan kepada dua entiti tersendiri. Entiti pertama boleh dinamakan sebagai Dewan Bahasa dan Pustaka Ketamadunan Melayu (DBP-M) dan entiti kedua, Dewan Bahasa dan Kepelbagaian Kebudayaan (DBP-K). Peranan utama DBP-M adalah penyelidikan dan pembangunan bahasa serta kebudayaan Melayu manakala DBP-K, perkongsian dan pembangunan kepelbagaian bahasa dan agama dalam Malaysia dan persada dunia.

DBP-M perlu mempunyai 70 peratus cendekiawan Melayu dan 30 peratus bangsa lain manakala DBP-K terbalik; 70 peratus daripada bangsa bukan Melayu dan 30 peratus kaum Melayu. Sekarang DBP mempunyai 98 peratus pekerja dan pegawai Melayu, saya kira. Selama 25 tahun saya menguruskan 22 buah buku untuk terbitan DBP, tidak pernah jumpa seorang bukan Melayu pun di DBP. Nama sahaja kebangsaan tetapi lebih bersifat perkauman.

PEMIKIRAN KAMPUNG?

Saya cadangkan DBP-M diangkat sebagai institusi pengajian Melayu dengan membuat aktiviti akademik seperti penyelidikan, penulisan dan seminar atau forum. Pegawai-pegawai perlu berkelulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dan boleh menyelia pelajar melalui cara kerjasama dengan semua institusi pendidikan awam di Malaysia. Entiti ini juga membuat penyelidikan pelbagai tentang bahasa dan kebudayaan Melayu serta menerbitkan buku-buku yang bermakna bagi pembangunan minda Melayu agar ia tidak terkongkong dengan pemikiran ‘kampung’ Melayu tetapi bersifat global, universal dan melangkah pelbagai disiplin.

Entiti ini juga perlu menjadi jambatan dengan orang awam serta masyarakat antarabangsa, media dan universiti awam dan swasta. Buku-buku yang terhasil perlu menjadi pandangan kritis dan membina bagi menggerakkan orang Melayu daripada kepompongan masyarakat bertongkat dan pemalas membaca. Ia juga perlu menjangkau lebih daripada batasan Islam jumud dan sempit bagi melangkau pemikiran merentas tamdun, masa silam dan ideologi. Tokoh-tokoh cendekiawan dan Saterawan-Sasterawan Negara bagi calon Melayu akan diiktiraf oleh entiti ini. Entiti ini juga perlu berkongsi pengalaman, ilmu dan perspektif tentang isu-isu semasa di persada global berteraskan Sustainable Development Goals oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Saya cadangkan DBP-K menjadi tunjang kepada perkongsian budaya dan pemikiran antara kaum, agama dan ideologi. Entiti ini perlu menerbitkan buku-buku dalam pelbagai bahasa supaya kesemua orang Malaysia dapat manfaat dan ia menjadi jambatan ketamadunan dan perkongsian dengan masyarakat antarabangsa.

Calon-calon Sasterawan Negara haruslah daripada yang bukan Melayu dan tidak semestinya hanya tertakluk kepada sastera tetapi juga pemikiran dalam sains dan teknologi. Tatapi sajalah buku-buku Stephen Hawkings, Michiu Kaku dan Eckhart Tolle. Pemikiran-pemikiran futuristik, kepentingan sains dan keutamaan spiritual dapat dikongsikan oleh pembaca Melayu dan Mandarin.

DONG ZONG

Akhbar Sin Chew Daily telah berusaha sejak Januari tahun ini untuk menterjemahkan kebanyakan artikel-artikel saya yang berbahasa Inggeris atau Melayu ke bahasa Mandarin. Orang-orang Cina amat berminat dengan pandangan tentang politik Melayu, isu Islam dan pendidikan dalam nukilan-nukilan saya. Sepatutnya DBP menjadi penggerak utama dalam memastikan aksesibiliti pemikiran saya kepada kaum-kaum lain tetapi kini usaha itu dijalankan oleh akhbar Cina.

Sekarang, kumpulan Dong Zong yang menjadi persatuan pendidikan Cina akan berusaha mengumpulkan artikel-artikel saya berbahasa Mandarin sebagai senaskhah terbitan buku. Terdapat juga usaha untuk menterjemahkan buku saya Not the Islam I Know daripada bahasa Inggeris ke Mandarin. Saya diberitahu dan diingatkan oleh rakan-rakan Cina bahawa Mandarin bukan bahasa vernakular Malaysia tetapi ia adalah bahasa global dunia. Wah! Nampaknya ke negara China-lah buku-buku dan penulisan saya.

Usaha penterjemahan yang dahulu kalanya tanggungjawab DBP telah lama diberikan kepada Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Saya tidak nampak sangat keberangsangan aktiviti serta produk institut ini. Elok dikembalikan tanggungjawab ini kepada DBP-K yang akan menjanakan penterjemahan dalam pelbagai bahasa di Malaysia dan di dunia perihal isu-isu yang boleh dikongsi serta dimanfaat bersama.

Dana patut disediakan untuk DBP-M dan DBP-K bagi menjemput penulis-penulis tamu daripada kaum Melayu dan kaum lain. Adalah amat penting bagi kesemua kaum diberi peluang mendokumentasikan pemikiran dan perspektif masing-masing agar perkongsian ini dapat menjadikan kita semua lebih celik konsep negara-bangsa, lebih sedar konsep masyarakat madani dan komuniti global.

Saya melihat juga kelembapan perkembangan bahasa Melayu dan perkongsian ilmu ketamadunan Melayu di persada siber. Perkara ini boleh dipertingkatkan dengan wujudnya aktiviti-aktiviti penulisan buku dalam pelbagai topik dan bahasa yang boleh menjadikan Malaysia pusat ketamadunan dunia.

Akhir sekali, kepimpinan DBP-K perlu dilihat kepada merit dan bukannya kaum supaya kita mendapat manfaat daripada semua lapisan bangsa. Hanya dengan mengorak langkah berani ini baharulah kesemua rakyat bakal menjadi bangga bahawa terdapat institusi dibiayai rakyat boleh memberi pulangan balik yang dapat merapatkan jurang kefahaman dan keserasian di peringkat nasional dan persada dunia.

PROFESOR DR. MOHD TAJUDDIN MOHD. RASDI ialah pensyarah senibina.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini