KUALA LUMPUR 30 Julai – Kerajaan perlu meneliti permohonan bagi mendapatkan kewarganegaraan Malaysia dengan lebih tegas dan adil bagi mengelakkan sebarang unsur penipuan mahupun rasuah.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, cadangan tersebut dibuat selepas keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mahu mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) permohonan kewarganegaraan bagi memastikan setiap permohonan dipertimbangkan secara lebih teliti, adil dan cepat.
“Kami gembira melihat keputusan KDN untuk memendekkan masa kelulusan kewarganegaraan dari tiga tahun hingga satu tahun.
“Gerakan sebelum ini komited untuk membantu rakyat Malaysia yang memegang kad pengenalan merah untuk memohon kewarganegaraan dan memohon memudahkan prosedur permohonan kewarganegaraan daripada KDN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Dominic, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini turut bersetuju untuk memudahkan kewarganegaraan bagi rakyat yang lahir dan tinggal di Malaysia sebelum kemerdekaan.
“Peperiksaan lisan sebelum ini yang mengambil masa setahun kini dikurangkan kepada satu bulan. Siasatan polis juga berkurang dari dua tahun kepada 53 hari.
“Banyak yang memberi reaksi gembira dengan keputusan kerajaan dan mereka boleh ke negara lain bersama keluarga serta melaksanakan tanggungajwab mereka,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











