SHAH ALAM – Kelab Liga Perdana, UiTM FC tidak mahu dilihat sebagai pasukan pelengkap jadual, tetapi berazam memberi saingan sengit kepada tiga pasukan lain dalam kumpulan B saingan Piala Malaysia yang bermula Jumaat ini.
Ketua Jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria berkata, walaupun pasukannya bersaing dalam Liga Premier, namun beliau yakin pemainnya mampu memberikan saingan sengit kepada tiga pasukan Liga Super dalam kumpulan B iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), PKNP FC dan Petaling Jaya City FC (PJ City FC).
“Saya yakin jika pemain saya dapat bermain dengan berdisplin dan mengikut arahan yang diberikan, kita mampu bersaing dengan dua pasukan ini (PKNP FC dan PJ City FC).
“Berbeza pula pasukan JDT yang kita boleh anggap ia sebagai pilihan untuk menjuarai peringkat kumpulan berdasarkan kejayaan mereka mempertahankan trofi Liga Super buat kali keenam berturut-turut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Ditanya mengenai persiapan skuad ‘The Lion Troops’, Ismail berkata ia berjalan lancar walaupun beberapa pemain dilanda kecederaan.
Bekas pengendali pasukan Kuantan FA dan Sime Darby FC itu memaklumkan pemain tengah, Mohd Nazrin Shamsul Bahri patah kaki kanan ketika bercuti di kampung halamannya, baru-baru ini dan dijangka terlepas saingan Piala Malaysia kerana kecederaanya akan mengambil masa selama tiga bulan untuk kembali pulih.
Penyerang import dari Montenegro, Zarco Korac pula, jelas Ismail, sudah mula turun berlatih selepas berehat akibat tercedera dan menerima sembilan jahitan di kepala dalam perlawanan terakhir Liga Premier menentang Negeri Sembilan pada 20 Julai lepas di Stadium UiTM, di sini yang berkesudahan seri 1-1.
Mengulas mengenai pertemuan menentang JDT pada Jumaat ini, Ismail berkata beliau tidak meletakkan sasaran tinggi dalam perlawanan berkenaan, namun berharap barisan pemain muda UiTM FC dapat memberikan aksi terbaik dan bermain dengan penuh berdisiplin.
“Kita tidak mahu memberi tekanan kepada pemain-pemain muda ini, apa yang penting mereka harus guna perlawanan ini untuk mengukur keupayaan mereka dan belajar untuk menjadi pemain yang lebih baik.
“Untuk perlawanan nanti jika dapat keputusan seri sudah cukup kerana bukan senang untuk menumpaskan JDT di halaman sendiri kerana mereka mempunyai pemain yang berkualiti tinggi dan bagus,” jelas Ismail.
UiTM FC bakal membuat penampilan kedua dalam saingan Piala Malaysia selepas edisi 2017 yang menyaksikan mereka gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.- BERNAMA











