KUALA LUMPUR 30 Julai – Sebanyak 56 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu serbuan di Pangsapuri Berembang Indah, Hulu Kelang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, Op Bersepadu Cegah Jenayah itu dilakukan bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang bermula kira-kira pukul 8 malam.
“Sebanyak 111 orang telah diperiksa dan kita menahan 56 orang PATI termasuk seorang wanita yang kesemuanya berusia lingkungan 20 hingga 40-an ditahan. “Kesemua yang ditahan terdiri daripada 46 warga Bangladesh, Pakistan (5), Nepal (4) dan Indonesia (1),” katanya di sini hari ini.
Menurut Noor Azmi, antara kesalahan yang dikesan adalah tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa yang akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen serta Seksyen 15(4) Akta Imigresen. Jelasnya, siasatan mendapati kebanyakan PATI terbabit telah berada di dalam negara sejak tiga hingga empat lalu. “Pihak MPAJ turut mengenakan tindakan sitaan serta kompaun di beberapa buah premis kedai mengikut undang-undang kecil pelesenan hasil pemeriksaan ke atas kira-kira 30 buah premis di sekitar pangsapuri,” ujarnya. Tambahnya, operasi ini akan sentiasa diteruskan dalam usaha kita membanteras kesalahan jenayah serta lambakan PATI. – UTUSAN ONLINE











