ALOR GAJAH 30 Julai – Pelajar lelaki yang hilang selepas terjatuh ke dalam laut semasa mengikuti latihan industri di sebuah syarikat operator pelabuhan di Kuala Linggi di sini ditemukan mati lemas oleh pasukan penyelamat, sebentar tadi.
Muhammad Afizuddin Aidzuhan, 20, yang hilang sejak malam Ahad lalu sebelum ini dikhuatiri lemas selepas tergelincir dari sebuah kapal tunda tempat dia menjalani latihan.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka/Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, mangsa ditemukan oleh sekumpulan nelayan yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekitar pukul 12.45 tengah hari.
Menurutnya, mangsa yang berasal dari Selangor ditemukan pada jarak 3.9 batu nautika dari lokasi dia dipercayai terjatuh sebelum dibawa ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Linggi, sejam selepas itu.
“Pelajar itu ditemukan dalam keadaan tertiarap di permukaan laut dengan kesan luka pada bahagian muka sebelum pengecaman wajah dibuat oleh anggota keluarga yang turut berada di lokasi kejadian.
“Semalam, kita mengesyaki dia terjatuh namun tidak pasti sama ada benar atau tidak. Sebaik sahaja mayat ditemukan, maka memang sah mangsa telah terjatuh ke laut dan lemas,” katanya ketika ditemui di Kompleks LKIM, Kuala Linggi di sini, sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











