KUALA LUMPUR 30 Julai – Satu jawatankuasa tinggi yang mempunyai kuasa perlu ditubuhkan untuk membantu merombak semula dasar sedia ada berkaitan dadah ke arah pembaharuan dengan menjadikannya lebih relevan.
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, jawatankuasa itu perlu dianggotai pemimpin tertinggi agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar dengan memperkenalkan polisi baharu yang rasional.
Katanya, jawatankuasa tersebut juga perlu melakukan analisis menyeluruh mengenai kegagalan pelbagai program dan inisiatif untuk menangani isu dadah yang selama ini hanya memberi tumpuan kepada penangkapan serta hukuman.
“Ia juga perlu mengambil kira mengklasifikasikan penagih dadah sebagai penjenayah kepada pesakit yang perlu dirawat dan dipulihkan.
“Jawatankuasa itu juga perlu mengkaji isu-isu terkini termasuk kemasukan dadah sintetik baharu dan mencari jalan untuk menanganinya kerana sindiket kini menyasarkan generasi muda termasuk pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador hari ini berhubung penggunaan dadah di negara ini yang kini berada pada tahap kritikal.
Tambah Lam Thye, kerajaan perlu melakukan rombakan semula secara menyeluruh semua polisi, pendekatan, operasi dan juga penguatkuasaan undang-undang berkaitan dadah.
Menurutnya, semua pihak berkepentingan juga perlu memainkan peranan dengan lebih berkesan terutamanya anggota keluarga dan komuniti kerana pelbagai jenis dadah telah dan bakal dibawa ke dalam negara termasuk jenis yang sukar dikesan melalui ujian air kencing.
“Apa yang berlaku menunjukkan betapa mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah ini tidak takut terhadap undang-undang termasuk hukuman mati kepada pengedar dadah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











