TAWAU 30 Julai – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bekerja keras memastikan sebarang taktik atau cubaan melakukan jenayah rentas sempadan seperti kegiatan penyeludupan dalam kawasan perairan negeri dapat digagalkan.
Komandernya, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pada masa ini kesemua elemen serta aset dalam PPM digerakkan ke arah membanteras jenayah rentas sempadan.
“Misalnya, hasil bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini PPM merekodkan tangkapan 84 kes, melibatkan Akta Kastam 1967 serta Akta Kawalan Bekalan 1961, dengan nilai rampasan RM13,041,943.40.
“Bagi tempoh tahun lalu, PPM berjaya merampas barangan seludup bernilai RM18 juta serta menahan 1,439 individu,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Pajeri berkata, bagi memastikan keberkesanan membanteras jenayah rentas sempadan, PPM turut membangunkan jaringan keselamatan bersama Polis Kebangsaan Filipina (PNP) serta Polis Air Indonesia (Polair).
“Pantai Sabah ini sepanjang 1,860 kilometer, bermula dari Teluk Brunei sehingga ke Pulau Sebatik, Tawau, dan keluasan laut wilayah negeri ini meliputi 52,194 kilometer persegi.
“Sabah bersempadan dengan Filipina dan Indonesia, sebab itu kita memerlukan jaringan kerjasama untuk membanteras jenayah rentas sempadan terutamanya kegiatan penyeludupan,” katanya.
Jelasnya, antara program diadakan bersama PNP dan Polair Indonesia adalah program Titik Pertemuan (RV) yang bertujuan untuk bertukar maklumat.
Tambahnya, pihaknya merencanakan RV secara berterusan dengan pertemuan setiap bulan bersama Polair Indonesia di perairan Tawau, Pulau Sebatik manakala perjumpaan PNP dalam tempoh empat bulan sekali. – BERNAMA











