Rancangan animasi sering dikaitkan dengan hiburan kanak-kanak. Sekiranya dahulu animasi hanya boleh ditonton di kaca televisyen dengan batasan waktu dan hari tertentu, hari ini asal ada capaian internet, ia boleh ditonton tanpa batasan masa.
Umumnya animasi ditayangkan di televisyen, melalui piawaian ketat tapisan dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), malangnya animasi di internet, tidak begitu, menjadikan kandungannya bukan sahaja tidak ditapis tetapi dikhuatiri ada elemen negatif.
Kajian akademik mendedahkan elemen negatif boleh mempengaruhi penonton untuk mengikutinya, apatah lagi ada elemen berulang di mana kanak-kanak mudah meniru apa yang mereka lihat tanpa berfikir terlebih dahulu.
Kanak-kanak pada usia antara tiga hingga 10 tahun, lebih gemar menonton rancangan animasi berbanding rancangan lain. Medium paling mudah diakses dan bersifat mesra pengguna adalah YouTube.
Tanpa pengawasan, dikhuatiri mereka menonton rancangan tidak berfaedah dan tidak bermoral. Hatta rancangan animasi juga tidak terkecuali dari mengandungi elemen negatif yang boleh merosakkan fikiran.
Dalam hal ini, ibu bapa disaran memuatnaik perisian YouTube Kids bagi mengelakkan anak-anak terakses bahan tidak sesuai.

Tidak sesuai budaya tempatan
Animasi dari luar negara kurang sesuai ditonton oleh peringkat umur kanak-kanak. Sebagai contoh, animasi daripada Jepun biasa dipanggil sebagai anime mempunyai pelbagai peringkat umur tontonan. Rancangan anime Crayon Shin Chan contohnya, adalah bukan untuk kanak-kanak, justeru tidak hairanlah kandungannya penuh dengan unsur pornografi dan elemen negatif dan tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak.
Pemilihan rancangan haruslah dipantau oleh ibu bapa walaupun ramai beranggapan bahawa ia adalah rancangan hiburan untuk kanak-kanak. Ini kerana lumrah sifat kanak-kanak untuk copycat atau mudah meniru apa sahaja mereka lihat dan dengar.
Pembentukan sahsiah dan tingkah laku kanak-kanak ketika ini, turut dipengaruhi persekitaran. Sekiranya kanak-kanak disogok persekitaran kurang sihat seperti diberikan kebebasan menonton apa yang mereka suka tanpa sekatan, mereka cenderung mengikuti apa yang mereka tonton.
Sekiranya bernasib baik, mereka akan mengikuti elemen positif bahan ditonton, namun sebaliknya jika mereka cenderung meniru perkara negatif itu yang paling merisaukan.
NEGATIF
Keterujaannya boleh mengundang tragedi. Beberapa kes di luar negara yang mengakibatkan kehilangan nyawa apabila kanak-kanak ini cuba meniru aksi animasi mereka tonton. Di Semarang, Indonesia, seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat meniru aksi animasi yang diminatinya, begitu juga di Rusia dan terbaharu di China seorang kanak-kanak perempuan maut terjatuh daripada apartmentnya akibat meniru aksi memanjat dari animasi ditonton.
Begitupun, animasi dihasilkan oleh penerbit dalam negara dilihat sangat sesuai dalam membina kompetensi diri, sahsiah dan akhlak anak-anak kerana ia dibina berdasarkan acuan dan budaya tempatan.
Animasi seperti Upin dan ipin, Boboiboy, Ejen Ali, Omar dan Hana dan pelbagai lagi mempunyai motif jelas dalam menyampaikan pengajaran.
Justeru, pemantauan dari ibu bapa terhadap bahan tontonan anak diperlukan. Bukan sahaja dibuat untuk melihat animasi apa yang anak tonton tetapi perlulah disekalikan dengan nasihat dan bimbingan daripada orang yang lebih tua daripadanya. Ibu bapa juga boleh berbincang dan menjadikan pengalaman menonton animasi bersama anak-anak sebagai satu aktiviti berkeluarga yang dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan.
- Penulis adalah Pensyarah Pusat Citra Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bidang Kajian Animasi.










