ISLAM memandang serius isu kebersihan. Bukan sahaja diletakkan sebagai sebahagian daripada iman, kebersihan mencerminkan keperibadian seseorang Muslim tersebut.

Kebersihan diri termasuk menjaga penampilan baik semasa berada di khalayak umum merupakan satu perkara yang amat dituntut dalam agama terutama ketika berurusan dengan orang ramai.
Penampilan selekeh atau tidak terurus bukan sahaja membuatkan individu lain berasa tidak selesa, malah boleh merosakkan imej Islam itu sendiri.
Menyimpan janggut itu sunah Nabi, namun jangan sesekali dibiarkan aset kelakian itu tidak terurus dengan baik. Maka hilanglah seri yang sepatutnya menjadi kebanggaan seorang Muslim.
Begitu juga dengan memotong atau merapikan bulu-bulu pada bahagian anggota badan yang lain. Dalam nas-nas syarak, terdapat beberapa perintah mengarahkan supaya dicukur beberapa jenis bulu yang terdapat pada anggota tubuh manusia.
Rasulullah SAW yang maksudnya: “Fitrah itu ada lima – atau lima perkara yang menjadi fitrah – adalah berkhatan, memotong bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan memotong misai.” – Riwayat Bukhari
Sehubungan itu, umat Islam disarankan menitik beratkan aspek kebersihan diri. Jangan sampai orang sebelah sakit mata melihat penampilan kita yang tidak terurus, atau lebih parah mereka terpaksa angkat kaki hanya kerana melihat bulu hidung yang ‘berceracak’ keluar. Geli kan?











