Selepas harimau, beruang pula muncul - Utusan Malaysia

Selepas harimau, beruang pula muncul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 23 Julai – Selepas gempar dengan seekor harimau yang berkeliaran di Kampung Besol, Bukit Besi dekat Dungun Jumaat lalu, kini muncul lagi `tetamu tidak diundang’ iaitu seekor beruang matahari yang masuk perangkap di Felda Belara dekat sini pagi ini.

Haiwan liar dari spesies Malayan Sun Bear atau nama saintifiknya Helarctos Malayanus seberat kira-kira 70 kilogram itu berjaya diperangkap kira-kira 9.30 malam tadi dalam kebun milik peneroka Felda berkenaan.

Beruang betina yang berusia lingkungan 8 hingga 10 tahun itu sebelum ini dikatakan dikesan berkeliaran di kawasan kebun tersebut sejak dua minggu lalu bersama dua ekor lagi haiwan jenis itu, dipercayai dari satu keluarga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan, kemunculan beruang itu dipercayai untuk memakan buah-buahan dan sarang kelulut yang diusahakan penduduk di situ.

Beruang tersebut kini masih berada di dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sebelum dihantar ke Taman Negara Terengganu petang ini untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof ketika dihubungi hari ini mengesahkan mengenai penemuan beruang berkenaan.

Sementara itu, Mohd. Yusree Mustafa, 36, yang tinggal bersama ibu-bapanya di situ berkata, dia mula menyedari kehadiran `tiga beranak beruang’ itu kira-kira dua minggu lalu sebelum melaporkan kepada pihak Perhilitan untuk tindakan lanjut.

Berikutan itu, pihak Perhilitan mula memasang perangkap di kebunnya dan sehinggalah kira-kira pukul 9.30 malam tadi, dia terdengar bunyi bising di kebunnya pada jarak kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

“Pada masa itu saya dengar bunyi bising di belakang rumah tapi saya tak berani turun, sehinggalah kira-kira pukul 7 pagi tadi, saya dapati seekor beruang sudah masuk perangkap,” katanya ketika ditemui di kebun milik bapanya di Felda Belara dekat sini hari ini.

Menurut pengusaha madu kelutut itu, kejadian itu merupakan kali kelima kebun mereka `diserang’ beruang itu sejak dua minggu lalu yang turut memusnahkan 20 sarang kelulut kepunyaannya melibatkan kerugian kira-kira RM10,000.

Tambah Mohd. Yusree, walaupun beruang itu berjaya ditangkap namun dia serta keluarga tetap risau selagi dua ekor lagi beruang masih bebas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini