SEPANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk daging lembu salai seberat 20 kilogram (kg) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA) pada Sabtu lalu.
Maqis dalam satu kenyataan berkata, rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan konsainan 23 pek daging lembu salai yang dibawa masuk oleh seorang penumpang warga Cambodia.
“Hasil pemeriksaan pada pukul 2 petang itu mendapati daging salai itu tidak mempunyai sebarang dokumen sah seperti permit import dari Jabatan Maqis, sijil kesihatan dan juga sijil halal dari negara asal.
“Kesemua konsainan tersebut telah dirampas oleh pihak Maqis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Maqis berkata, perbuatan mengimport hasil haiwan tanpa permit sah daripada Jabatan Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.
“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
“Kegagalan mematuhi peraturan import ini juga boleh dikenakan tindakan kompaun
di bawah Peraturan-Peraturan Kuarantin Dan Pemeriksaan (Pengkompaunan
Kesalahan) 2019 sehingga RM50,000,” katanya.
Sementara itu, Maqis berkata, pihaknya sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang masuk ke dalam negara adalah bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta tidak menjejaskan sektor pertanian, penternakan dan makanan negara di samping mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan. – K! ONLINE











