3 PATI bekerja di sangkar ikan ditahan - Utusan Malaysia

3 PATI bekerja di sangkar ikan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 22 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri awal pagi tadi menahan seramai tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di dua buah sangkar ikan berasingan pada jarak kira-kira 2.1 dan 3.1 kilometer selatan Pulau Aman di sini.

Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, mereka yang berumur antara 17 hingga 20 tahun ditahan ketika pemeriksaan pukul 6.20 pagi tadi selepas gagal mengemukakan pasport dan permit kerja yang sah.

Menurut beliau, ketiga-tiga PATI itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 Seksyen 6(1)(c) kerana menetap dan berada di Malaysia tanpa sebarang dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim negeri untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Hamizan, pengusaha sangkar ikan diingatkan tidak menggunakan pekerja asing tanpa pengenalan diri dan permit kerja yang sah kerana boleh didakwa mengikut undang-undang negara.

Kata beliau, pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan dengan lebih kerap bagi membanteras kegiatan PATI khususnya di perairan Pulau Pinang.

“Kerjasama orang awam bagi menyalurkan maklumat yang tepat sama ada melibatkan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut adalah sangat diperlukan dan boleh berbuat demikian melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini