KUALA TERENGGANU 22 Julai – Penyertaan Hadiah Sastera Terengganu Darul Iman (HASDI IV) 2019 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan hampir RM70,000 bagi para penulis anak negeri dan pemastautin yang berkarya dalam pelbagai genre di negeri ini masih dibuka sehingga 31 Julai ini.
Sehubungan itu, Pengerusi Pengelola Hasdi IV, Abdul Mubin Ismail menggesa mereka yang layak supaya menghantar segera karya masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan.
Menurutnya, sebagaimana Hasdi III, sebanyak empat kategori utama dinilai yang melibatkan Tokoh sastera, Cekal Sastera, Buku Perseorangan dan Bahagian Eceran.
Katanya, penyampaian anugerah dwitahunan itu termasuk bagi Tokoh Sastera negeri dan Hadiah Cekal Sastera dijangka dilangsungkan pada penghujung tahun ini selepas penilaian dibuat oleh panel juri yang dilantik.
“Anugerah ini merupakan satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap anak Terengganu serta mereka yang bermastautin di negeri ini secara berterusan menghasilkan karya bermutu melalui pelbagai medium cetak.
“Serahan bahan karya dan dokumen berkaitan bagi tujuan penilaian boleh dibuat kepada urusetia Hasdi IV di Pejabat Pelita, JKR 281, Bangunan Warisan/Sejarah, Jalan Tok Lam di sini sebelum 31 Julai ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdul Mubin yang juga Ketua Dua Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) memberitahu, Hasdi IV merupakan program tajaan sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur serta diurus selia Pelita di mana penilaian berasaskan karya yang dihasil atau diterbitkan pada tahun 2017/2018.
Menurut beliau, program itu adalah sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan para sasterawan, penulis, pengarang anak Terengganu yang menghasilkan karya bermutu.
Sementara itu, Ketua satu Pelita, Kamarulzaman Ismail berkata, hadiah Tokoh Sastera merupakan pengiktirafan kepada individu berwibawa dan banyak memberi sumbangan kepada kemajuan dan penciptaan karya peringkat negeri serta negara di mana karya yang dihasilkan sangat bermutu dan berjaya membina minda masyarakat.
Menurutnya, penerima hadiah kategori ituakan digelar Sasterawan Negeri dan bakal menerima wang tunai RM5,000 dan sijil manakala Hadiah Cekal Sastera pula akan menerima RM3,000 serta sijil penyertaan sekali gus digelar Sasterawan Harapan Negeri.
“Turut dikekalkan kategori Buku Perseorangan melibatkan kumpulan puisi kanak-Kanak, kumpulan puisi remaja, kumpulan puisi umum, kumpulan cerpen kanak-Kanak, kumpulan cerpen remaja, kumpulan cerpen umum, novel kanak-kanak, novel remaja, novel umum, buku sastera (Esei), buku sastera (Kritikan/kajian), drama pentas, drama radio, drama TV,
biografi/Autobiografi yang menawarkan hadiah utama bernilai RM2,500 dan hadiah penghargaan RM1,000.
“Manakala Bahagian Eceran untuk uisi kanak-kanak, puisi remaja, puisi umum, cerpen kanak-kanak, cerpen remaja, cerpen umum, drama pentas dan esei sastera pula menawarkan hadiah bernilai RM750 dan lima hadiah penghargaan bernilai RM500. Hadiah galakan kepada penulis berusia 21 tahun ke bawah yang memenangi hadiah karya kreatif bakal menerima wang tunai RM750,” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE











