KULAI 22 Julai – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menunggang motosikal kapcai semasa singgah di Felda Taib Andak dekat sini pukul 11.20 pagi ini sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019 yang berakhir hari ini.
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah turut membonceng motosikal kapcai itu yang mencuri tumpuan penduduk setempat dengan diiringi dengan Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddun Jamal.
Sultan Johor dan Permaisuri Johor mencemar duli merasai cara kehidupan orang kampung sebelum singgah di rumah asal peneroka milik Mohamad Abu, 52, dan isteri, Azlinah Ahmad, 49, untuk bersarapan.
Pasangan diraja itu turut berkenan beramah mesra dan Baginda berdua merasai masakan berasaskan daging salai yang diusahakan Mohamad dan Azlinah yang dinamakan Daging Salai Tiga Abdul.
“Sedaplah daging salai ni, rasa dia klasik lain dari daging biasa,” titah Sultan Ibrahim kepada pasangan tersebut.
Sementara itu, Mohamad berkata, kunjungan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah akan diingati sepanjang hidupnya dan bertuah kerana Baginda berkenan melawat rumahnya.
“Rumah ini merupakan struktur asal rekaan rumah peneroka yang dibina sejak tahun 1960 lagi dan kami akan menjaganya dengan baik untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.
Baginda kemudiannya meronda kawasan kampung dengan menaiki motosikal sebelum singgah di warung kopi dan lepak bersama-sama peneroka.
Sementara Raja Zarith pula berkenan menziarahi adik Siti Nurwadiyah Khalid, 9, yang menghidap penyakit Sindrom Treacher Collins atau gangguan perkembangan tulang dan jaringan tubuh pada bahagian wajah.
Raja Zarith Sofiah menyampaikan sumbangan kepada Siti Nurwardiyah dan beberapa penerima sumbangan ketika singgah di rumah peneroka felda berkenaa sebelum keluarga diraja itu meninggalkan kawasan tersebut selepas lebih satu jam berada di situ.
Terdahulu, rombongan KMJ 2019 edisi ke-22 tiba ke destinasi ketiga di Felda Taib Andak selepas berlepas dari Kampung Sungai Telur, Kota Tinggi dekat sini.
Baginda berdua diiringi Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar dan Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman.
Turut berangkat ialah Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim serta suami kepada Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah, Datuk Dennis Muhammad Abdullah.
Hari ini merupakan hari terakhir KMJ 2019 menjelajah ke tiga buah daerah iaitu Kota Tinggi, Kulai sebelum berakhir di Melita Premium Fresh Pineapple, Ulu Tebrau, Johor Bahru melalui 180 kilometer. -UTUSAN ONLINE











