KUALA LUMPUR – Pengamal perubatan Islam, Akademi Arash-QHI Malaysia bakal menganjurkan Daurah Mega Ruqyah yang bertujuan memberikan penerangan lebih jelas mengenai kaedah rawatan tradisional mengikut syarak.
Pengasasnya, Ustaz Amirul Mukminin al-Faruq berkata, program yang bakal diadakan di Selangor pada Disember tahun ini melibatkan guru-guru agama dalam bidang ruqyah dari Indonesia, Jordan dan Malaysia.
Katanya, program itu diadakan selepas mendapati projek Street Ruqyah yang dibuat secara berterusan sejak awal tahun ini mendapat sambutan menggalakkan.
“Tujuannya ialah kita mahu memperkenalkan rawatan ruqyah mengikut syariah yang tidak bercampur dengan mantera, menurun dan pemujaan tetapi berlandaskan kepada ajaran al-Quran dan sunah.
“Ruqyah bukan sahaja boleh mengubati gangguan makhluk halus tetapi ia juga mampu menyembuhkan penyakit fizikal dan kronik seperti kanser, demam, sakit pinggang, strok dan lain-lain,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambahnya, pihaknya juga mengadakan kelas bimbingan dan mengaji bersanad kepada orang ramai selain memberi fokus untuk melahirkan satu rumah satu perawat.
Menurut Amirul, orang ramai tidak perlu sangsi kerana pihaknya mendapat tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor.
“Kami juga akan menganjurkan Program Terapi Keluarga Sakeenah pada September ini di Kamunting Beach Resort, Melaka khusus kepada pasangan suami isteri yang mempunyai masalah rumah tangga,” katanya.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai program itu diminta menghubungi Amirul di talian 011-5899 7899 / 011-1062 2769 atau layari Facebook Akademi Ruqyah Syar’iyyah Holistik Arash untuk maklumat lanjut. – K! ONLINE











