KPDNHEP akan ambil tindakan terhadap pengedar, penjual Ghost Candy - Utusan Malaysia

KPDNHEP akan ambil tindakan terhadap pengedar, penjual Ghost Candy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan mengikut Perintah Kawalan Harga (Pelabelan Oleh Pekilang, Pengimport, Pengeluar dan Penjual Borong) 1980 terhadap penjual dan pengedar yang menjual gula-gula Ghost Candy atau Smoke Candy yang mengeluarkan asap seperti menghisap rokok.

Perintah itu menetapkan denda mengikut Seksyen 57 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu denda maksimum RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan jika sabit kesalahan.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak kementerian akan melakukan penguatkuasaan setiap produk dijual yang dibungkus untuk mengesan pembekal sebelum tindakan susulan dijalankan mengikut undang-undang itu.

Jelasnya, melalui penguatkuasaan, pihaknya dapat melihat sama ada produk tersebut mematuhi pelabelan, kompenen dan bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan gula-gula tersebut.

“Produk ini mesti dijual di kedai. Jadi, kita akan melihat semula kaedah produk itu dibungkus malah dalam undang-undang sudah termaktub bahawa setiap produk yang dijual secara tersedia bungkus mesti mematuhi penandaan butiran-butiran bagi tujuan pelabelan agar pembeli tahu kandungannya.

“Buat masa ini, biar pegawai-pegawai KPDNHEP menjalankan tinjauan penguatkuasaan dan saya tidak ragu dengan keupayaan mereka untuk memberikan laporan balas dengan segera bagi menentukan langkah seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan (M3PK) di sini hari ini.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia, Halim Ishak menggesa kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap pengeluar termasuk mengharamkan penjualan gula-gula tersebut.

Jelasnya, gula-gula tersebut kini menjadi kegilaan murid-murid sekolah rendah dan dikhuatiri mampu mendorong mereka terdedah kepada tabiat merokok pada usia muda.

Katanya, penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilakukan bagi memastikan gula-gula tersebut ditarik balik daripada pasaran walaupun belum ada kajian dilakukan terhadap kesan dan akibat buruk pengambilan gula-gula itu.

Mengulas lanjut, menurut Saifuddin, sebelum melakukan langkah susulan mengenai penjualan gula-gula itu, pihak kementerian perlu mengetahui lokasi produk tersebut dibungkus di dalam atau luar negara selain mengenal pasti sama ada pengilang mematuhi Perintah Kawalan Harga.

“Sebelum menyusun langkah susulan, kita perlu memahami perkara sebenar terlebih dahulu dengan lebih tepat sama ada produk ini telah terdedah kepada kanak-kanak di seluruh negara atau ia hanya di sekitar Lembah Klang,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×