KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menyumbangkan 16 anak pokok Melaka kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena ulang tahun MBMB sebagai Bandaraya Bersejarah ke-16.
Majlis penyerahan disampaikan dalam Program Hari Bebas Kenderaan dan Penamanan Pokok Melaka anjuran DBKL yang turut disertai oleh MBMB di Dataran DBKL, di sini, semalam.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, sebanyak dua batang pokok Melaka ditanam di Jalan Melaka, di sini manakala baki 14 lagi pokok akan ditanam di Taman Botani Perdana, Taman Metropolitan Batu, Taman Rimba Kerinchi dan Nurseri DBKL.
“Program penanaman pokok ini adalah simbolik kerjasama dan sebagai tanda komitmen DBKL dan MBMB dalam meneruskan hubungan menerusi memorandum persefahaman bandar raya berkembar MBMB-DBKL sejak 30 tahun lalu.
“Selain itu, usaha dan sumbangan pokok dari MBMB juga merupakan sokongan kepada sebahagian program penghijauan bandar DBKL bagi mengurangkan kadar karbon di dalam bandar raya selaras dengan kempen Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030,” katanya.
Yang hadir sama Datuk Bandar MBMB, Mansor Sudin dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Tey Kok Kiew.
Dalam majlis itu, Norhisham dan Mansor masing-masing menanam satu pokok Melaka di Jalan Melaka, di sini sebelum menyertai program Hari Bebas Kenderaan bersama kira-kira 1,000 warga kota. – UTUSAN ONLINE











