HARIMAU sejenis haiwan yang jinakkah? Jinak yang sudah dijinakkan atau dilatih oleh seseorang atau sebenarnya sudah cukup pening? Pening sebab mana mahu pergi? Macam kitalah, sesat dalam hutan batu sudah tentu tak sama peningnya dengan sesat dalam hutan belantara.
Kejadian dua ekor harimau ‘jinak’ yang berkeliaran di Kampung Besul Lama, Bukit Besi dekat Dungun, beberapa hari lalu menarik perhatian ramai. Persoalan paling banyak dilontarkan, dari mana datangnya harimau ini yang tidak mencederakan penduduk lalu lalang di situ?
Adakah harimau itu habitatnya di hutan telah dirodok dan disondol oleh jentolak, dan ia keluar untuk ‘bergurau’ dan meminta simpati manusia atau adakah ia harimau belaan yang dilepaskan oleh orang yang memeliharanya mungkin sebab sudah tidak sanggup membela?
Saya teringat kejadian di Tasik Shah Alam, pada Februari lalu, yang mana pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terpaksa mengadakan operasi mencari seekor anak buaya yang dipercayai dilepaskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di situ. Anak buaya berukuran satu meter itu berjaya diperangkap dan kemudian dihantar ke Paya Indah Wetlands di Selangor.
Kadang-kadang kita pun rasa pelik dengan perangai manusia ini. Dalam banyak-banyak haiwan yang boleh dijadikan haiwan peliharaan, dia pilih pula harimau, beruang atau buaya. Bila sudah rasa haiwan itu tidak sesuai lagi tinggal di rumah mereka, dilepaskan begitu saja. Kenapa mahu bela, kalau tak boleh simpan?
Haiwan sebegini penjagaan memang sukar apa lagi bab-bab pemakanan. Mana boleh beri makan coklat, nasi lemak atau roti canai. Dan dari segi undang-undang, menyimpannya merupakan satu kesalahan. Undang-undang sebegini dibuat untuk melindungi spesies haiwan yang dilindungi ini. Kalaulah tercekik makan coklat, tak ke mati sia-sia? Sedangkan haiwan ini semakin pupus.
Sebanyak 272 spesies hidupan liar di negara ini, termasuk di bawah kategori dilindungi sepenuhnya, yang tidak boleh dikeluarkan dari habitat asal, bagi tujuan perdagangan dan penjualan. Sebenarnya undang-undang negara ini tentang perlindungan hidupan liar, sudah cukup lengkap. Ada jadual-jadual mengenai haiwan yang tidak boleh dipelihara dan boleh dipelihara dengan memerlukan lesen.
Soalnya sekarang, bukan kepada penguatkuasaan undang-undang yang memerlukan pindaan demi pindaan tetapi lebih kepada sikap kerakusan dan rasa tamak manusia untuk mengejar keuntungan selain rasa tidak kisah kepada kewujudan makhluk lain ciptaan Tuhan ini yang turut mahukan perlindungan seperti kita.
Harimau, beruang, gajah, tenuk, beruk, monyet, semuanya duduk di dalam hutan. Itu habitat asal haiwan-haiwan ini. Pernah lihat monyet dan tenuk mati dilanggar kenderaan? Mahu ke mana haiwan-haiwan yang terkorban ini ketika dilanggar itu? Kita pun tidak tahu.
Adakah tempat tinggal mereka diancam dan menyebabkan binatang ini keluar? Yalah, kalau hutan asyik ditarah atas nama pembangunan adakah itu bukan satu ancaman besar kepada haiwan-haiwan yang tinggal di dalamnya? Kita pun, kalau kawasan perumahan dibalun dengan ribut, bencana banjir atau kebakaran besar, maka bertempiaranlah kita lari. Bagaimanakah perasaan kita ketika itu? Seronokkah?
Begitu juga haiwan yang di dalam hutan itu, apabila bunyi kuat ngauman jentolak meranapkan dan menumbangkan pokok serta bukit-bukit sehingga gondol, seisi hidupan dalam hutan itu pun ketakutan. Mahu lari mana? Ke mana lagi mahu dituju setelah kawasan mereka diterangkan? Itu yang ada keluar berkeliaran memusnahkan tanaman-tanaman penduduk-penduduk sekitarnya dan penduduk yang takut dan marah, menembak mati haiwan berkenaan.
Pernahkah kita terfikir berapa banyak hidupan di dalam hutan itu musnah, mati kerana manusia yang berakal ini dahagakan pembangunan? Sudah pastinya kematian haiwan ini tidak ditangisi oleh sesiapa, walaupun hakikatnya haiwan ini berkeluarga di dalam hutan tersebut.
Di muka bumi ini, bukan kita saja makhluk yang Allah kurniakan nyawa dan mahu hidup aman damai. Dan tidak satu pun makhluk ciptaan Allah itu dijadikan dengan sia-sia. Menjaga dan melindungi haiwan, itu bermakna kita juga menjaga kurniaan Tuhan.
Ya, betul saya seorang pencinta haiwan. Tetapi yang saya bela di rumah hanya kucing. Bukan kucing hutan. Ada yang saya ambil di jalanan kerana memikirkan nyawanya terancam di tepi jalan yang penuh kenderaan. Harimau dan beruang, saya tidak berani dekat kalau terjumpa pun, apatah lagi buaya. Titik!











