Tolong tangani isu mat rempit - Utusan Malaysia

Tolong tangani isu mat rempit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGAKNYA sudah menjadi trend. Setiap malam Sabtu dan malam minggu mulalah segerombolan mat-mat rempit menjadikan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) khususnya laluan antara Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Seremban sebagai trek berlumba mereka.

Jumlah mereka bukan sedikit tetapi ramai. Inilah senario yang sering penulis saksikan setiap malam Sabtu dan malam Ahad ketika pulang dari kerja.

Lazimnya mereka akan mula merempit pada pukul 10 malam ke atas. Sememangnya apa yang dilakukan ini sangat berbahaya dan berisiko bukan sahaja kepada diri mereka sendiri tetapi terhadap pengguna lebuh raya yang lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bayangkan terdapat mat-mat rempit ini meniarap, lagak umpama superman ketika berlumba sesama mereka. Jika disaksikan ketika berada dalam kereta, kita akan menyangka seolah-olah motosikal itu tiada penunggang. Seolah-olahnya motosikal itu bergerak sendiri pada kelajuan yang amat tinggi.

Inilah yang berlaku. Mereka sungguh berani. Itu yang kadang-kadang penulis terfikir bagaimana mereka boleh begitu berani sehingga tahap ini.

Pernah penulis saksikan lebih 10 mat rempit berlumba sesama mereka dalam satu masa. Dengan bunyi deruan enjin yang membingitkan mereka mencelah dan ‘mencilok’ kenderaan lain termasuk lori dan bas ketika sedang bergerak laju.

Seandainya berlaku kemalangan, besar kemungkinan mat-mat rempit yang terlibat ini akan bertemu ajal. Apa tidaknya dengan kelajuan yang begitu tinggi iaitu dalam lingkungan 150 hingga 160 kilometer sejam (km/j) sudah tentu penunggangnya akan alami cedera parah.

Pernah satu hari penulis mengisi minyak di sebuah stesen minyak di lebuh raya dan kebetulan mat-mat rempit ini lepak di stesen minyak tersebut.

Penulis melihat rata-ratanya orang Melayu kita dan mereka masih muda. Kalau tengok mukapun macam tidak percaya yang mereka ini mat rempit.

Muka punyalah baik tetapi malang apabila berada di jalan raya, mereka mula merempit. Mereka hilang pertimbangan ketika berada di jalan raya.

Lagak seperti hero, seolah-olah jalan raya itu milik mereka sahaja. Mereka tidak hiraukan pengguna jalan raya yang lain. Yang penting kepuasan merempit.

Di sini penulis juga ingin berkongsi tip dengan pemandu di lebuh raya jika berhadapan dengan suasana mat-mat rempit ini mula berlumba. Sekiranya kita mula mendengar bunyi deruan enjin motosikal mereka, jangan tukar lorong.

Tetapkan laluan kereta pada lorong asal. Tujuannya untuk elakkan kemalangan yang mungkin boleh membabitkan kita jika tidak peka dengan kehadiran mat-mat rempit ini.

Sekiranya lorong ditukar dikhuatiri mat-mat rempit ini tidak sempat mengelak dan mungkin boleh menyebabkan berlakunya kemalangan dan mungkin juga kemalangan maut.

Kepada pihak penguat kuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) fikirkanlah sesuatu iaitu cara dan kaedah paling berkesan untuk membendung gejala ini.

Bincanglah di peringkat kementerian sehingga ke peringkat Kabinet sekalipun dalam usaha mencari satu formula bagi mengatasi masalah rempit ini.

Memang diakui polis dan JPJ telah bekerja keras melakukan rondaan di lebuh raya namun hal mat rempit ini perlu juga ada satu tindakan khusus yang lebih bersistematik dan bersepadu agar aktiviti berbahaya ini segera dihentikan.

Yalah, kalau hutan asyik ditarah atas nama pembangunan adakah itu bukan satu ancaman besar kepada haiwan-haiwan yang tinggal di dalamnya? Kita pun, kalau kawasan perumahan dibalun dengan ribut, bencana banjir atau kebakaran besar, maka bertempiaranlah kita lari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini