KETIKA angkasawan Neil Armstrong menjejakkan kakinya di atas permukaan bulan 50 tahun lalu, hari ini beliau meninggalkan satu ungkapan keramat yang tidak akan dilupai: “Satu langkah kecil bagi manusia, satu lompatan besar bagi umat manusia.
“Walaupun ketika itu saya masih kecil, saya masih merasai keterujaan dibenarkan berjaga lewat malam bagi menonton detik dramatik ini dalam kaca televisyen hitam putih kami. Impian besar saya adalah untuk menjadi gadis pertama yang berjalan di atas bulan, tetapi cita-cita kerjaya itu belum tercapai. Saya menyukai kerjaya saya hari ini – dan mungkin boleh meneruskan bidang aeronautik dalam kerjaya saya akan datang.
Laluan kerjaya Neil Armstrong bagaimanapun, menjadikan beliau seorang perintis zaman moden. Kata-kata hikmat itu mengiktiraf pencapaian moonshot bersejarah yang pertama, satu usaha yang membawa kepada penemuan inovatif baharu, satu kejayaan besar mengatasi mana-mana individu atau negara. Pendaratan di atas bulan mencatat detik paling penting dalam sejarah manusia.
Pencapaian moonshot pada 1969 adalah satu kejayaan menakjubkan Amerika Syarikat (AS). Namun ia turut menyerlahkan pencapaian luar biasa negara-negara seperti Malaysia berdasarkan kepada perkembangan program angkasa lepas. Sepanjang tempoh program Apollo, Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA) menganggarkan terdapat kira-kira 400,000 jurutera, saintis, dan juruteknik dari seluruh dunia sama-sama bekerja ketika AS menggembleng tenaga sektor awam dan swasta untuk menjelajah penerokaan ke bulan.
Syarikat-syarikat seperti IBM, Honeywell, Motorola dan GE memainkan peranan penting dalam membolehkan Armstrong, Michael Collins dan Buzz Aldrin sampai ke bulan dan selamat kembali ke bumi. Senarai teknologi yang dipindahkan daripada pencapaian NASA kepada kehidupan seharian manusia begitu menakjubkan: Segala-galanya daripada komputer kepada GPS, dan pakaian yang disarung mempunyai kaitan dengan program angkasa.
Rakyat Malaysia mengetahui tentang beberapa syarikat ini dengan baik kerana syarikat-syarikat ini berada di sini sudah berdekad lama. Kira-kira 99 peratus pekerja IBM di sini ialah rakyat Malaysia dan mereka turut memainkan peranan penting dalam pejabat IBM di seluruh dunia. Honeywell berada di Malaysia sejak 1985 dan kini mempunyai lebih 1,500 pekerja di tujuh lokasi, yang mengendalikan sistem avionik bersepadu untuk pesawat.
Motorola, salah satu syarikat elektronik awal AS di Pulau Pinang, mempunyai 98 peratus daripada hampir 1,700 pekerjanya rakyat Malaysia. Kebanyakan pekerja Motorola berkhidmat dalam pekerjaan berteknologi tinggi yang menjurus kepada pembangunan dan penyelidikan (R&D) dan pembangunan produk baharu untuk pelanggan global. Kuala Lumpur menjadi rumah kepada salah satu daripada tiga pusat Pemantauan dan Diagnostik minyak dan gas GE, dengan memainkan peranan penting dalam pemantauan turbin 24/7 di seluruh dunia.
Firma-firma AS terus melabur dalam operasi berteknologi tinggi di Malaysia, selalunya dari pejabat-pejabat yang juga menjadi hab ASEAN. Firma-firma ini melabur dalam pembangunan bakat, termasuk rakyat Malaysia pada setiap peringkat struktur korporat, daripada pengarah urusan kepada pekerja peringkat permulaan. Syarikat-syarikat AS merupakan majikan terbesar di beberapa negeri di Malaysia.
l Finisar, pembekal produk komunikasi optik terkemuka di dunia, menggaji lebih ramai rakyat Malaysia daripada syarikat lain di Perak.
l ON Semiconductor, pembekal semikonduktor Fortune 500, ialah majikan terbesar di Negeri Sembilan.
l First Solar mempunyai kilang terbesar di Taman Perindustrian Hi Tech Kulim di Kedah.
l Intel dan Jabil – masing-masing dengan hampir 10,000 pekerja merupakan dua majikan terbesar di Pulau Pinang.
Penulis bertuah kerana dapat melawat dan bertemu dengan pekerja dan pengurus di syarikat-syarikat ini dan melihat bagaimana usaha bersama ini menjadi pendorong untuk pergi lebih jauh dalam teknologi dan pencapaian manusia dalam bidang perubatan, pengangkutan, tenaga, dan teknologi maklumat (IT). Syarikat-syarikat AS sering menjemput penulis untuk bercakap dengan pemimpin Malaysia yang meningkat naik mengenai kerjaya, berkongsi cabaran yang dihadapi dan menggalakkan kreativiti, pemikiran kritikal, dan mencari perspektif di luar Malaysia untuk persiapan menghadapi perubahan dinamik pada masa depan.
Sepanjang sejarah Malaysia dan terutama sejak 50 tahun lalu, rakyat AS dan Malaysia telah membina perkongsian yang saling menguntungkan melalui penglibatan ekonomi dan program pertukaran rakyat. Kerajaan AS menaja pelbagai pertukaran yang direka untuk mencetuskan dan memupuk inovasi.
Bersama kerajaan Malaysia, kami menaja 100 Pembantu Guru Bahasa Inggeris Amerika di seluruh negara sebagai sebahagian daripada program Fulbright. Inisiatif Pemimpin Asia Tenggara (YSEALI) membina kemahiran kepimpinan dalam kalangan belia di rantau ini untuk menangani cabaran global. Program YES menghantar 40 pelajar sekolah menengah untuk menghadiri sekolah menengah di AS dan tinggal bersama keluarga Amerika selama enam bulan.
Sejak dua tahun lalu, penulis telah bertemu ratusan peserta dalam program ini dan mereka yang lain. Setiap seorang mempunyai kisah istimewa yang memberitahu bagaimana pengalaman mereka di AS mengubah impian profesional dan peribadi mereka. Kami berbangga dengan mereka semua, dan ingin memberi beberapa contoh:
Rakan baik penulis, Mazlan Othman ialah seorang sarjana AS-ASEAN Fulbright dan pakar astrofizik yang meletakkan asas untuk program angkasa Malaysia. Usaha beliau membawa kepada pelancaran angkasawan pertama Malaysia, Sheikh Muszaphar Shukor, pada 2007.
Pada Ogos ini, Jonah Lau, salah seorang peserta program Pemimpin Belia Asia Tenggara terkini kami, akan menghadiri Purdue University alma mater Armstrong yang mana Jonah merancang untuk mendalami bidang kejuruteraan aeroangkasa.
Banyak syarikat AS di sini menaja inisiatif mendekati komuniti untuk memberi inspirasi kepada belia Malaysia dan memupuk kecintaan terhadap sains dan kreativiti serta mendorong generasi akan datang ke tahap yang lebih tinggi.
Program geran padanan Intel memberi berjuta-juta ringgit kepada kumpulan masyarakat yang melibatkan staf mereka sebagai sukarelawan. Melwin Cheng Choon Lei dan Tham Yong Shiang, pelajar sekolah menengah dari Pulau Pinang, telah memenangi kategori kimia Pameran Sains dan Kejuruteraan Antarabangsa 2019 di Arizona, dan atas kejayaan mereka, sebuah asteroid akan dinamakan sempena nama mereka.
Keysight Technology melaksanakan program selepas waktu bekerja dan diketuai oleh Naib Presiden dan Pengurus Besarnya, Shidah Ahmad, seorang alumni Ohio University, sebagai mentor kepada belia dalam pendidikan STEM. First Solar mengambil sebuah sekolah di luar bandar Kedah sebagai anak angkatnya untuk mengurangkan kadar keciciran pelajar sekolah. Terdapat banyak lagi contoh lain.
Perkongsian ini amat penting kerana AS merancang untuk mendorong lebih jauh sempadan penerokaan dengan misi manusia ke Marikh. Kami menyedari bahawa kami tidak akan keseorangan ke sana. Kami teruja untuk bekerjasama dengan rakan-rakan rapat di Malaysia demi mencapai impian `mustahil’ yang seterusnya. Bersama-sama, kita menantikan usaha besar manusia yang akan datang, satu moonshot yang melangkaui bulan.
n Kamala Shirin Lakhdhir ialah Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia.











