KONFLIK politik dalam PKR sudah tidak dapat dibendung lagi. Bak bangkai gajah, ia tidak boleh ditutup dengan nyiru, apatah lagi daun keladi. Pertembungan antara kem Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bukan lagi sekadar kocakkan dalam cawan, sebaliknya ia ibarat gunung berapi yang memuntahkan laharnya.
Kalau diimbas, sejarah perjalanan politik PKR, rakaman video dan CCTV sering sahaja menyebabkan parti itu bergolak. Begitulah juga kali ini, apabila video yang didakwa mirip Azmin bertebaran. Walaupun Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menafikan sekeras-kerasnya tetapi isu tersebut tidak berakhir begitu sahaja.
Kenyataan Anwar yang berpendapat Azmin perlu meletakkan jawatan jika video tersebut ‘tulen’ bagaikan menekan butang bom jangka, Azmin bertindak balas dengan meminta Anwar cerminkan diri dan bermuhasabah. Walaupun Anwar cuba menjernihkan keadaan dengan menghubungi Azmin sebanyak dua kali dan menganggap sahabat seperjuangan itu tersilap memahami konteks kenyataannya tetapi segalanya bagaikan sudah terlambat.
Kali ini Azmin benar-benar terluka. Ketika kepemimpinan kanan PKR berkumpul di pemukiman parti itu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Port Dickson, Jumaat lalu, Azmin `membawa diri’ bersama sekutu-sekutunya.
Namun penulis difahamkan Azmin sudah memaklumkan kepada Dr. Mahathir bahawa beliau tidak akan hadir ketika perasmian dan langkah itu dikatakan turut dilakukan oleh 15 ahli Parlimen yang menyebelahi beliau.
“Sudah terpecah, tak boleh diselamatkan lagi, kita tunggu apa akan berlaku selepas ini,’’ kata seorang ahli Parlimen kerajaan kepada penulis ketika diminta mengulas kemelut dalam PKR.
Sememangnya PKR sudah berpecah. Inilah hakikatnya. Selama ini pemimpin parti itu cuba melindungi keretakan yang berlaku sebaik mungkin. Sebarang kenyataan biarpun menunjukkan ada perpecahan, cuba ditutupi dengan hujah politik kononnya atas nama perbezaan pendapat dan pandangan tetapi tetap bersatu.
“Saya tidak nampak jalan, PKR boleh bersatu semula. Masing-masing sedang mengumpul kekuatan khususnya melibatkan sokongan ahli Parlimen. Ketika ini Anwar dikatakan mempunyai sokongan lebih banyak berbanding Azmin,’’ kata satu sumber yang rapat dengan parti itu.
Bagaimanapun sokongan itu boleh berubah-ubah mengikut perkembangan politik semasa. Masalahnya ada ahli Parlimen yang tahap sokongannya ibarat ‘atas pagar’ – belum pasti akan jatuh di sebelah mana. Dia melihat dahulu siapakah akan menang pertarungan tersebut.
Oleh itu, biarpun menyatakan pendirian menyokong sama ada Azmin atau Anwar atau dilihat bersama kedua-dua pemimpin tetapi kesudahannya bergantung individu mana yang boleh memberi keuntungan politik kepadanya.
Memiliki sokongan ramai ahli Parlimen adalah penting untuk survival politik Anwar dan Azmin. Walaupun Anwar menyatakan mempunyai sokongan bagi beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri tetapi dalam politik segala-galanya berkemungkinan.
Namun begitu ia bukan bermaksud Azmin berada dalam keadaan selesa, biarpun beliau dikatakan dibawa masuk ke Kabinet oleh Dr. Mahathir. Beberapa kenyataan Perdana Menteri sejak kebelakangan ini menyebabkan wujud spekulasi perjalanan politik Azmin menuju puncak ‘agak terganggu’.
Bagaimanapun Dr. Mahathir tidak seharusnya diheret dalam perbalahan politik PKR, sebab itulah beliau menganggap ketidakhadiran Azmin ke pemukiman parti itu bukan urusan beliau, sebaliknya dalam ucapan beliau, Perdana Menteri mengingatkan bahaya yang menanti jika pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) berebut kuasa.
Sebagai ahli politik yang cukup berpengalaman, Dr. Mahathir secara berlapik merujuk secara umum kepada PH sedangkan semua orang tahu yang sedang bergolak dan pertarungan berkaitan kuasa sedang berlaku dalam PKR.
Ada yang bertanya bagaimanakah mahu menyelesaikan kemelut PKR itu? Pada pandangan penulis, jawapannya kepada hasil siasatan pihak berkuasa berhubung video mirip menteri yang setakat ini disahkan tulen oleh CyberSecurity Malaysia tetapi proses pengecaman wajah adalah negatif.
Dua isu pokok ialah siapakah pemimpin politik yang menjadi dalang penyebaran video itu dan siapa sebenarnya pelaku yang wajahnya ‘bagaikan sepanduk dua serupa’ atau kalau menurut ahli-ahli biologi, di dunia ini terdapat tujuh orang mempunyai wajah yang sama atau hampir sama atau sama tetapi tidak serupa.
Kedua-dua perkara ini jika boleh dirungkai sudah pasti akan meredakan suasana dalam PKR. Sebab itulah apabila ada desakan oleh pemimpin dan ahli parti tersebut supaya dalang di sebalik video didedah manakala satu kelompok lagi mahu pelakunya disahkan, ia tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Dua insan ini sahaja yang boleh merungkai segala kekecohan yang berlaku bahana tersebarnya video intim itu. Penulis bersimpati dengan Anwar dan Azmin kerana sering sahaja terperangkap dalam politik rakaman video dan CCTV.
Tetapi mereka tidak perlu ragu atau gusar kerana selain surah an Nur ayat 12 yang dinyatakan oleh Azmin dalam Tweetnya, penulis juga percaya kedua-dua pemimpin itu pasti memahami bahawa Allah SWT mengetahui dan berkuasa atas segala-galanya tidak kira sehebat manapun perancangan dan tipu daya manusia. Kebenaran pasti muncul.
Apapun perbalahan itu tidak menguntungkan rakyat sehingga mereka semakin ‘tak ada selera’ kepada politik tanah air yang dianggap sudah sampai pada tahap bukan lagi memualkan tetapi memuntahkan.
Oleh itu, kemelut ini perlu diselesaikan kerana menyebabkan negara dianggap tidak mempunyai ketidakstabilan politik apatah lagi apabila yang terlibat pula calon-calon jawatan Perdana Menteri.











