Jom serang Area 51! - Utusan Malaysia

Jom serang Area 51!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Secara tiba-tiba kawasan digelar Area 51 di padang pasir Nevada, Amerika Syarikat (AS) menjadi perhatian dunia, gara-gara hampir 1.4 juta pengguna Facebook `menandatangani’ persetujuan untuk `­menyerbu’ kawasan berkenaan yang dikatakan menempatkan makhluk asing, pada September ini.

Area 51 diklasifikasikan sebagai pangkalan rahsia yang menempatkan kemudahan tentera udara AS namun banyak pihak terutama ahli teori konspirasi mendakwa kerajaan AS menempatkan makhluk asing, teknologi dan objek terbang tidak dikenali (UFO) yang terhempas di negara berkenaan namun dinafikan White House.

Rancangan serbuan digelar Strom Area 51, They Can’t Stop All Of Us turut dinanti-nantikan seramai 1.1 juta lagi pengguna Facebook yang berminat menyertainya tetapi sebenarnya, rancangan itu hanyalah gurauan dan menjadi `bahan lawak’ dalam kalangan pengguna media sosial terbabit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun tentera udara AS tidak menyifatkan rancangan itu sebagai `bahan lawak’ dan menganggapnya sebagai ancaman sehingga memaksa kerajaan mengeluarkan amaran agar mereka yang terlibat tidak mendekati kawasan Area 51 malah pihaknya tidak teragak-agak untuk menembak mereka.

Seorang jurucakap tentera juga memberitahu Washington Post, pihaknya sudah bersiap sedia untuk melindungi AS dan asetnya jika kumpulan pengguna Facebook itu menyerbu Area 51.

Kenyataan itu juga berikutan laporan bahawa hotel dan kawasan perkhemahan di kawasan berkenaan telah menerima tempahan yang di luar jangkaan ekoran rancangan tersebut.

Rancangan serbuan itu tercetus beberapa minggu selepas kerajaan AS memberi taklimat ringkas kepada senator-senator AS tentang kejadian pertembungan antara tentera laut AS dengan pesawat yang tidak dikenali.

Seorang pengguna Facebook mencadangkan dalam laman sosial itu satu rancangan serbuan pantas ke Area 51 dengan memberi perincian bahawa mereka akan berkumpul di pusat pelancongan Area 51 dan menyelaraskan cara kemasukan masing-masing.

Kata pengguna itu, jika mereka berlari seperti cara Naruto berlari maka mereka mampu bergerak lebih laju daripada peluru dan matlamat untuk bertemu makhluk asing akan tercapai.

Naruto merupakan karektor animasi popular Jepun yang berlari dengan meletakkan tangannya pada bahagian belakang tubuhnya.

Mereka merancang untuk melakukan serbuan itu pada awal pagi, sekitar pukul 3 pagi, 20 September ini.

Seorang lagi pengguna Facebook Jackson Barnes turut melakarkan diagram `pelan permainan’ dengan ilustrasi cara serbuan terbaik bagi setiap kumpulan peserta namun dia turut meninggalkan pesanan kepada kerajaan AS bahawa pelan lakarannya hanyalah `bahan lawak’ dan tidak berniat untuk merealisasikan pelan itu.

Namun ada juga pengguna yang lebih ekstrem dengan mencadangkan taktik perang tentera Jerman iaitu `perang kilat’ (blitzkrieg) dengan membahagikan-bahagikan peserta berdasarkan zodiak masing-masing.

Area 51 dikatakan mempunyai urban legend tersendiri dan dianggap kawasan yang pelik malah kerajaan AS hanya mengiktiraf kawasan itu sebagai kawasan tentera pada 2013 selepas terdapatnya permohonan melalui Freedom of Information.

Terletak kira-kira 128.7 kilometer dari Las Vegas, Area 51 juga didakwa sebagai kawasan operasi tentera maka tiada pesawat yang dibenarkan mengguna ruang udara kawasan berkenaan.

Dikenali juga sebagai kawasan ujian dan latihan menembak Nevada yang merupakan sebahagian daripada pangkalan tentera udara Edwards namun kegunaan sebenarnya masih disembunyikan daripada orang ramai seperti kebanyakan pangkalan tentera lain di AS.

Teori tentang tempat penyimpanan makhluk asing di Area 51 tercetus pada 1989 apabila seorang lelaki, Bob Lazar dalam satu temu bual di televisyen AS mendakwa, dia adalah ahli fizik yang pernah bertugas di kawasan itu.

Lazar berkata, dia pernah bertugas mengambil UFO dan pernah membaca dokumen kerajaan yang menyebut tentang penglibatan makhluk asing dalam kehidupan di bumi.

Walaupun lelaki itu tidak memiliki bukti kukuh terhadap dakwaannya itu malah tiada bukti dia merupakan lulusan fizik dari mana-mana universiti namun Lazar berjaya menyemarakkan lagi cerita tentang Area 51.

Baru-baru ini dia muncul dalam program podcast Joe Rogan malah dokumentari tentang dirinya pernah disiarkan dalam Netflix, sekali gus mencetuskan semula minat orang ramai terhadap ceritanya.

Penerbit buku The Myth and Mystery of UFO, Thomas Bullard berkata, selepas kepercayaan rakyat terhadap kerajaan AS pudar ekoran skandal Watergate dan Vietnam, kini muncul pula skandal Roswell dan Area 51.

Roswell merupakan kawasan di New Mexico yang menyaksikan pada 1947, sebuah objek dari udara jatuh terhempas, dipercayai UFO namun ceritanya disembunyikan kerajaan AS.

Pada awal kejadian, pihak tentera mendakwa objek itu adalah belon kaji cuaca tetapi sekitar tahun 1990-an mereka mendakwa objek itu adalah belon pemantau ujian nuklear. Bagaimanapun pendedahan tersebut gagal mengalih tumpuan banyak pihak dan teori konspirasi tentang objek terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini